fbpx

Proton rekod jualan tertinggi 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Model X50 muncul sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan merekodkan jualan sebanyak 28,774 unit tahun lalu.

PETALING JAYA – Jenama automotif nasional, Proton menga­khiri 2021 dengan rekod jualan tertinggi sejak 2014 setelah 114,708 unit kenderaannya terjual di pasaran domestik dan eksport, pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus berbanding 2020.

Pertumbuhan jualan buat tahun ketiga berturut-turut itu meletakkan tahap pegangan pasaran Proton tahun lalu dianggarkan meningkat kepada 22.7 peratus, mengukuhkan kedudukan syarikat di tangga kedua.

Lebih mengujakan, prestasi itu dicatatkan ketika jumlah ke­seluruhan industri (TIV) tahun lalu dianggarkan merosot 4.6 peratus kepada 505,000 unit.

Proton turut merampas gela­ran jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia selepas menjual 45,149 unit SUV pada 2021, mewakili 40 peratus daripada keseluruhan jualannya.

X50 muncul sebagai model SUV paling laris dengan jualan sebanyak 28,774 unit, manakala Saga kekal sebagai model terlaris Proton dengan jualan 42,627 unit, termasuk unit yang dihantar sebagai pek model pemasangan tempatan (CKD) ke luar negara.

Saga kekal sebagai model terlaris Proton sepanjang tahun 2021.

Pada masa sama, Proton turut berjaya 3,108 unit di pasaran luar negara pada 2021, iaitu pertumbuhan sebanyak 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, 2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ini jelas dilihat dalam penurunan TIV.

“Dari krisis bekalan cip global kepada peningkatan kes Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan penambahan kos penghantaran, terdapat banyak cabaran perlu diatasi.

“Oleh sebab itu, pencapaian Proton tahun lepas amat membanggakan dan ia hasil daripada perancangan rapi dan penggunaan cekap sumber sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslan

Roslan menambah, selari de­ngan pertumbuhan jualan, penyediaan fasiliti buat pelanggannya turut bertambah.

“Jumlah pengedar 3S/4S Proton meningkat kepada 147 buah daripada 140 pada awal tahun, manakala Proton Commerce meluluskan 14,550 pinjaman pada 2021, satu lagi rekod baharu syarikat,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI