fbpx

Harga bitcoin melonjak, kes curi elektrik naik 300 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail

PETALING JAYA – Sebanyak 2,187 kes kecurian elektrik melibatkan aktiviti ‘melombong’ bitcoin dikesan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Januari hingga September tahun lalu.

Menurut TNB, pada 2018, sebanyak 610 kes curi elektrik bagi aktiviti sama dikesan dan jumlah itu meningkat kepada 1,043 kes pada 2019 dan 2,465 kes pada 2020.

“Kes kecurian elektrik untuk aktiviti melombong bitcoin me­lonjak lebih 300 peratus dari 2018 hingga 2020. Tahun lalu, sebanyak 2,187 kes kecurian elek­trik melibatkan aktiviti sama direkodkan sepanjang sembilan bulan.

“Peningkatan kes itu adalah disebabkan kenaikan harga bitcoin. Operator melakukan penyam­bungan secara haram selain kesan usik pada meter milik TNB,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut TNB, operator bitcoin sebelum ini memilih kawasan komersial dan rumah kedai di kawasan baru yang kurang kepadatan penduduk untuk menjalankan operasi tersebut.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini mereka beralih ke kawasan perumahan untuk mengaburi mata pihak TNB.

“Aktiviti ini mengganggu kestabilan bekalan elektrik di sesuatu kawasan. Usikan pada meter TNB menyebabkan bacaan tidak tepat dan seterusnya boleh menyebabkan gangguan kerana permintaan elektrik di kawasan terbabit me­lebihi keperluan sepatutnya.

“Penyambungan secara haram juga boleh menyebabkan kerosakan dan kegagalan sistem bekalan elektrik hingga menyebabkan percikan arka pada pepasangan TNB di peti pembekal dan pencawang masuk. Akibatnya bekalan elektrik terputus,” ujarnya.

Namun, TNB memberi jaminan akan sentiasa memantau bagi mengesan premis yang disyaki melakukan kegiatan ha­ram tersebut menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST), polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, setakat 30 September 2021, TNB menyerbu seba­nyak 161 premis yang disyaki mencuri elektrik untuk melombong bitcoin dan mereka yang terlibat boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990

“Individu yang melakukan kesalahan itu boleh didakwa bagi kesalahan mencuri dan khianat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI