fbpx

Aksi superstar menyantuni bekas guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG-bintang ternama ini tidak pernah melupakan jasa guru yang menabur bakti mengajar mereka suatu ketika dahulu.

APALAH makna benderang sebutir bintang itu kalau tanpa tangan-tangan yang menggilap.

Siapalah Siti Nurhaliza kalau tanpa dukungan dan tunjuk ajar daripada individu-individu bernama pendidik yang pernah memberi ilmu pengetahuan terhadap figura berstatus superstar tanah air itu.

Baru-baru ini, penyanyi tersohor negara itu mencuri perhatian apabila beliau yang sedang menghantar bantuan banjir ketika itu tidak dikenali mantan gurunya kerana memakai pelitup muka.

“Beliau tidak perasan saya. Sepanjang berada di sana, saya memang pakai pelitup muka dan akhirnya barulah terjadi sesi jejak kasih kami,” coret Siti, 42, dalam kapsyen media sosialnya.

AKSI Siti ketika terserempak dengan bekas gurunya ketika turun padang membantu mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Pekerti pelantun lagu Cindai itu membuktikan bahawa itulah kualiti yang seharusnya ada dalam diri setiap anak seni.

Kejayaan digapai tidak membuatkan seseorang itu lupa akan asal usulnya dan selayaknya, apa yang ditunjukkannya dijadikan teladan buat selebriti yang baru berjinak-jinak ingin membina nama dalam cabang kerjaya bernama seni.

Sehubungan itu, HibGlam menyenaraikan beberapa diva antarabangsa lain dan coretan penuh inspirasi mereka yang setia hidup dengan pepatah ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.

Beyonce

Diva bernama Beyonce bertemu titik jejak kasih ketika berusia 25 tahun dengan guru tariannya bernama Miss Darlette dalam program bual bicara, The Ellen Show. Menurut Beyonce yang kini berusia 40 tahun, Miss Darlette ialah individu pertama yang menghidu bakat nyanyiannya.

“Saya menyanyi sebuah lagu secara sumbang dan ketika itu, Beyonce menghabiskan lagu berkenaan buat saya dan dia menyanyi dengan sangat bagus.

“Dia seorang yang sangat pemalu dan waktu itu, dia barangkali berusia enam atau tujuh tahun. Saya yakinkan ibu bapanya bahawa dia benar-benar boleh menyanyi,” kata Miss Darlette.

Lady Gaga

Penyanyi versatil yang juga pemenang trofi Oscar, Lady Gaga membuatkan ramai bergenang air mata apabila bertemu semula dengan salah seorang guru kesayangannya bernama Sister Angela Bayo dalam satu temu bual sekitar 2012.

LADY Gaga ketika bertemu bekas gurunya, Sister Angela Bayo (gambar kanan) beberapa tahun lalu.

Tanpa disangka-sangka, guru yang mengajar ketika Gaga menuntut di sekolah jenis katolik itu muncul dalam rancangan tersebut dan mula bercakap tentang kualiti yang ada dalam Gaga. Perihal itu menjadikan dirinya sangat istimewa di mata dunia hari ini, ujar Angela.

“Anda telah melakukan banyak perkara baik dalam hidup orang lain dan itulah erti sebenar hidup. Itu sebabnya saya sangat sayangkan Stefani (nama sebenar Gaga),” ujar Angela seraya memeluk Gaga.

Oprah Winfrey

Mogul dunia pengacaraan, Oprah Winfrey tidak akan berada pada tahap sekarang kalau bukan disebabkan jasa guru-gurunya di sekolah. Oprah bercerita tentang guru kegemarannya dalam salah satu episod program bual bicaranya, The Oprah Show suatu ketika dahulu.

PENGACARA tersohor, Oprah Winfrey dan Mrs. Duncan.

Oprah atau nama sebenarnya, Oprah Gail Winfrey mendedahkan, guru kegemarannya bernama Mrs. Duncan dan wanita itu merupakan guru paling hebat ditemuinya sepanjang hidupnya.

“Oprah seorang pelajar yang suka membaca. Kalau saya ada semua pelajar yang macam Oprah, saya memang akan bahagia di awang-awangan atas udara,” katanya.

Adele

Penyanyi yang sedang meledak dengan lagu Easy On Me, Adele bertemu semula dengan guru bahasa Inggerisnya ketika mengadakan persembahan ‘live’ di London. Menitiskan air mata dan kaku apabila berjumpa semula dengan Ms. McDonald, ujar Adele, wanita berkenaan merupakan faktor mengapa dia bergelar penyanyi dan sangat mencintai bidang kesusasteraan.

“Dia membuatkan saya jatuh cinta dengan kesusasteraan Inggeris. Saya memang obses dengan Inggeris dan sekarang ini, saya bekerja menulis lirik.

“Dia sentiasa membuatkan anak muridnya berasa disayangi,” kata Adele yang turut mendedahkan sudah 20 tahun terpisah dengan Ms. McDonald.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI