fbpx

Perubahan iklim jadi elemen perancangan masa depan di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (dua kanan) ketika membersihkan kawasan banjir di Taman Nanding, Hulu Langat.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri bercadang menjadikan perubahan iklim sebagai salah satu elemen penting dalam sebarang perancangan di masa depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, banjir melanda memusnahkan harta benda serta mengorbankan jiwa dan seharusnya menjadi asbab melakukan anjakan paradigma.

Katanya, berdasarkan Profesor Emeritus Kluster Alam Sekitar dan kelestarian Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ibrahim Komoo menjelaskan bencana kali ini adalah “gabungan antara tanah runtuh di Sungai Penchala, aliran puing di hulu Sungai Lui, banjir puing di lembah Sungai Lui dan banjir besar di kebanyakan kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang”.

“Acap kali ditegaskan bahawa perubahan iklim merupakan suatu cabaran besar buat kita semua. Namun amaran ini sering diremehkan.

“Kita memandang alam sebagai sesuatu yang layak ditakluk sedangkan manusia dan alam berakarkan suatu hubungan akrab yang jitu.

“Mengambil iktibar daripada pelbagai faktor ini, kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan perubahan iklim (climate change) sebagai salah satu elemen penting dalam sebarang perancangan di masa hadapan,” katanya dalam perutusan tahun baharu 2022, hari ini.

Kata beliau, berasaskan pendekatan “whole of society” (pembabitan semua lapisan masyarakat) kerajaan negeri tuntas memastikan segala bentuk bantuan disalurkan kepada mangsa banjir sama ada ketika mahu pun selepas tragedi.

Tambah Amirudin, kerajaan negeri mula menyerahkan sumbangan bantuan Selangor Bangkit bernilai RM1,000 kepada mangsa banjir semenjak 28 Disember lalu.

“Setakat ini, 2,531 individu di semua sembilan daerah Petaling, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor mendapat manfaat daripada bantuan ini menjadikan jumlah awal sehingga ini RM2.5 juta.

“Kerajaan negeri juga dalam rangka menyediakan bantuan dapur gas dan lain-lain bagi menampung beban yang dihadapi mangsa banjir,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengecualian turut diberikan bagi bayaran bil air selama sebulan, bayaran pinjaman perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) serta menggerakkan hampir 1,672 kenderaan serta jentera dengan 14,511 anggota bagi membantu mengurusetiakan bencana banjir ini.

“KDEB Waste Management yang diamanahkan untuk mengurus sisa sampah telah menyediakan 11 stesen pengumpulan sementara setakat ini dengan 3,023 RORO (tong sampah pukal), 224 jengkaut dan 35 lori sewaan yang berjaya mengutip 13,000 tan sampah.

“Bagi melancarkan gerak kerja pascabanjir, sejumlah 2,500 orang Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor turut turun padang untuk kerahan tenaga membantu proses pembersihan pascabanjir,” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI