fbpx

Pakej My50 ganti My30 Januari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wee Ka Siong berbual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Azharuddin Mat Sah (kiri), dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah (kanan) LRT Gombak, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan bakal menggantikan My30 pada 1 Januari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pas perjalanan tanpa had itu boleh digunakan untuk perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang.

“Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Disember ini dan akan diganti dengan pas perjalanan tanpa had RM50 sebulan selaras dengan Bajet 2022.

“Pas ini terbuka kepada warganegara untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam Prasarana dengan hanya membayar RM50 untuk penggunaan selama 30 hari,” katanya dalam sidang akhbar di LRT Gombak, di sini hari ini.

Jelasnya, beliau berharap pas My50 itu mendapat sambutan baik orang ramai bagi menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

“Walaupun pas perjalanan My30 berakhir 31 Disember ini, rakyat boleh terus menggunakan My30 sehingga 30 Januari 2022 sebelum beralih kepada pas My50.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos ditanggung Prasarana dalam menyediakan inisiatif pas perjalanan ini,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang.

“Bagi Pulau Pinang, pas perjalanan akan dipanggil Pas Mutiara My50 dan boleh digunakan untuk bas henti-henti perkhidmatan Rapid Penang.

“Namun kemudahan ini masih belum dapat dijalankan untuk Rapid Kuantan,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan My30 di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada bulan Jun 2020. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI