fbpx

Anak Malaysia di sebalik ciptaan robot FreeHand pembantu pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROBOT yang diusahakan Dr. Ramdas Senasi dan pasukannya ini dapat mengurangkan masa pembedahan dan bilangan kakitangan terlibat dalam pembedahan.

KINI boleh dikatakan kebanyakan kes perubatan semakin kompleks dan memerlukan pendekatan lebih canggih bagi menangani keperluan semasa, terutamanya dalam melakukan pembedahan.

Banyak negara berhadapan dengan masalah kekurangan pakar bedah bagi menangani masalah ini.

Menyedari akan permasalahan tersebut, ia mendorong Dr. Ramdas Senasi, 43, untuk menyumbang kepakaran dalam mengatasinya.

Sungguhpun telah melangkah jauh di ‘pentas’ antarabangsa, anak kelahiran Melaka itu menjadi satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia teknologi perubatan.

Ia selepas berjaya menubuhkan syarikat Imperial Medical Solutions (IMS) yang memperkenalkan robot bantu bedah berskala komersial.

“Saya sedar keperluan teknologi perubatan yang mampu memberi peratusan keberkesan tinggi, terutama sekali di negara-negara yang tidak mempunyai bilangan pakar bedah yang mencukupi.

“Atas sebab itu, saya bersama rakan seperjuangan lain mengambil keputusan untuk mengetengahkan projek mampu milik dengan menghasilkan satu ciptaan robotik dinamakan sebagai FreeHand ataupun robot kolaboratif tangan bebas,” jelasnya.

Tambahnya, FreeHand yang dihasilkan dengan sokongan Jabatan Perdagangan Antarabangsa United Kingdom merupakan satu ciptaan robotik yang berkemampuan untuk membantu pakar-pakar bedah di seluruh dunia menjalankan pembedahan dengan lebih berkesan.

Untuk mengetengahkan ciptaan robotik berkenaan, beliau turut dibantu oleh rakan seperjuangan lain.

Ia termasuk pakar bedah Ansanul Haq dan Prof. Tan Arumpalan serta Nazia Aftab yang merupakan seorang peguam.

Sehingga kini, FreeHand telah membantu hampir 15,000 sesi pembedahan di seluruh dunia.

ROBOT kolaboratif tangan bebas membantu pakar-pakar bedah menjalankan pembedahan dengan lebih cepat.

Dalam pada itu, ciptaan robotik itu amat penting terutamanya untuk negara yang kurang mempunyai akses kepada dunia robotik untuk melakukan pembedahan secara bersepadu.

FreeHand dapat membantu mengurangkan masa pembedahan, mengurangkan bilangan kakitangan terlibat, selain meningkatkan kemahiran pembedahan.

Dalam sesuatu pembedahan, perkara yang amat penting adalah penglihatan.

Sebelum ini, ada pembantu yang bertugas memegang kamera bagi membolehkan pakar bedah mendapat tahu dengan tepat ke arah mana untuk menghalakan peralatan pembedahan.

Namun dengan FreeHand, pembantu itu tidak diperlukan lagi dan pakar bedah boleh menggunakan alat berkenaan untuk mengawal apa yang mereka lihat.

Sementara itu, siapa sangka sebuah syarikat yang mempunyai rangkaian besar sebegini pada masa sekarang ditubuhkan di saat lockdown dijalankan di United Kingdom (UK) ekoran pandemik.

Ia dibangunkan atas dasar tanggungjawab tinggi bagi memastikan terdapat penyelesaian untuk menghadapi kekurangan pakar bedah di seluruh dunia.

IMS aktif mengorak langkah sehingga diiktiraf sebagai satu-satunya syarikat teknologi perubatan yang mempunyai kepakaran sedemikian di dunia.

Dr. Ramdas sedar akan tanggungjawab besar yang digalas olehnya kini.

“Sebagai seorang penasihat pediatrik radiologi di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK, saya senantiasa diberi mandat bagi membina integrasi antara pakar klinikal, segmen pendidikan dan juga dapatan melalui amalan praktikal.

“Ia bertujuan meningkatkan lagi produktiviti dan keupayaan dalam usaha meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelesaian kes perubatan global,” ujarnya.

Berbicara mengenai pembabitan dalam teknologi perubatan, Dr. Ramdas memberitahu, ia bermula daripada hasratnya untuk membantu kekurangan bantuan perubatan yang dihadapi kebanyakan negara dunia ketiga serta cabaran bagi menanggung kos perubatan yang semakin meningkat saban hari.

Dalam pada itu, merujuk kepada perdebatan mengenai penglibatan robot dalam bilik bedah mengurangkan peluang pekerjaan bagi doktor pakar, beliau menjelaskan, perkara sebegini seharusnya dibincangkan dalam konteks lebih positif.

Ini kerana baginya, teknologi wujud bagi membantu manusia melakukan pekerjaan yang memerlukan ketepatan, kualiti dan kuantiti berpanjangan.

“Justeru, dengan memberi laluan kepada teknologi untuk berkembang di dalam bilik bedah, secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pakar bedah untuk meningkatkan produktiviti.

“Hasilnya bakal dirasai oleh masyarakat di saat mereka memerlukan kemudahan tersebut,” ulasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI