fbpx

Lima rutin bahagia hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Kira-kira dua minggu lagi tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya. Memang tahun ini tahun yang melelahkan dengan pelbagai rintangan ekoran pandemik Covid-19 yang terus menghantui dunia.

Kajian pada tahun ini turut mendedahkan tahap keresahan dan stres rakyat Malaysia berhubung pandemik adalah paling tinggi dalam segala aspek berbanding 27 negara lain, berdasarkan tinjauan oleh sebuah firma penyelidikan pasaran antarabangsa.

Sebagai contoh, tahap keresahan rakyat negara ini berhubung situasi pekerjaan adalah 74 peratus berbanding 56 peratus di peringkat global.

Sebelum memasuki tahun baharu 2022 ini, penulis ingin kongsikan apa yang boleh dilakukan agar kita lebih ceria melangkah ke tahun baharu.

Pertama ialah muhasabah apa yang sudah kita capai pada tahun ini. Tidak dinafikan, tahun ini penuh tekanan, barangkali ada juga azam tak kesampaian. Tetapi penulis pasti setiap daripada kita ada pencapaian yang boleh dibanggakan biarpun kecil.

Fikirkan tentang kejayaan, perkara-perkara bermakna dan memori-memori indah yang anda telusuri tahun ini. Senaraikan hal-hal yang baik ini akan membuat anda berasa lebih positif sekali gus memberi tonik untuk memasuki tahun baharu, berbanding memikirkan apa yang tidak tercapai.

Kedua, bersyukur dan sampaikan terima kasih. Syukur adalah satu kuasa ampuh. Bak kata penulis Jerman, Eckhart Tolle, memperakui segala hal baik yang sudah anda miliki adalah asas kepada limpahan nikmat. Sebagai seorang Muslim kita memang sering kali diingatkan dengan firman Allah: “Jika kalian bersyukur, maka sungguh Aku akan tambah untuk kalian (akan nikmat)”.

Salah satu bentuk bersyukur juga adalah dengan mengenang mereka yang telah berbuat baik dan membantu anda tahun ini. Di saat pandemik ini, pasti ada orang yang pernah menghulurkan apa-apa bantuan kepada anda. Ucapkan terima kasih kepada mereka, ia pasti memberikan satu rasa yang cukup luar biasa bagi anda dan mereka menjelang tahun baharu.

Ketiga, kemas dan bersihkan ruang kerja. Segala hal berkaitan tahun ini dan tahun-tahun lalu yang telah tidak digunakan lagi bolehlah dibuang dan dikemaskan.

Keempat, buka galeri telefon anda, lihatlah foto-foto kenangan anda sepanjang tahun ini yang pastinya boleh membuat anda tersenyum.

Foto yang sudah tidak berkenaan boleh dipadam, sekurang-kurangnya boleh juga anda menghilangkan serabut pada telefon bimbit.

Terakhir tapi sebenarnya paling utama, sekiranya anda seorang Muslim, tunaikanlah zakat. Hujung tahun yang biasanya dikaitkan sebagai tempoh haul bagi pendapatan tahun ini adalah masanya untuk berzakat.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan kebajikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhan. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” (Al-Baqarah: ayat 277)

Justeru, jika anda bersedih, runsing dan merasakan himpitan pelbagai masalah pada tahun ini, barangkali berzakat adalah salah satu penawar kerana itulah antara kunci ketenangan yang dijanjikan Tuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI