fbpx
Hoong Fong

Bekas tahanan POCA jadi Ketua Geng Dubuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang lelaki nyata tidak serik walaupun pernah dihukum mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) apabila mengetuai Geng Dubuk melakukan samun dan ragut di sekitar daerah ini.

Kelicikan geng itu sejak enam bulan lalu bagaimanapun berakhir apabila dia bersama tiga lagi rakannya berusia 20 hingga 40 tahun diberkas di daerah ini pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan kesemua suspek itu, susulan laporan polis oleh seorang lelaki berusia 55 tahun di sekitar Palm Grove di sini, pada 25 September lalu.

Katanya, kejadian pukul 3.45 petang itu berlaku selepas mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal yang bertindak meragut beg sandangnya.

“Kita turut merampas sebuah motosikal dan empat telefon bimbit dipercayai hasil jenayah Geng Dubuk ini.

“Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk dadah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati ketua geng itu yang berusia 40-an pernah dijatuhi hukuman mengikut POCA pada 2017 dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Hoong Fong menambah, kumpulan tersebut disyaki terlibat dalam 20 kes samun dan ragut di sekitar kawasan Klang Selatan sejak enam bulan lalu.

“Modus operandi mereka adalah menunggang motosikal sebelum melakukan jenayah tersebut termasuk pada waktu siang.

“Mereka menyasarkan mangsa terutama wanita dan warga asing yang berjalan secara bersendirian,” jelasnya.

Kata beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan dalam kes lain selain mengesan barang kes berkaitan.

“Mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE

POPULAR