fbpx
Tangkap layar video memaparkan lelaki berkenaan memecahkan cermin kenderaan dinaiki isteri dan dua orang anaknya.

Suami baran pecahkan cermin kereta depan anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kenderaan dipercayai dinaiki isteri dan dua anaknya tular di media sosial hari ini.

Menerusi perkongsian video oleh wanita dikenali sebagai Amira di laman Facebook, lelaki itu dilihat menghampiri kenderaan itu untuk memberikan wang kepada anaknya.

Aksi itu dirakam oleh wanita yang juga pemandu kereta tersebut.

Pemandu itu bagaimanapun dilihat seperti ketakutan apabila hanya membuka ruang tingkap sedikit sahaja bagi membenarkan tangan lelaki itu masuk menghulurkan duit kepada kanak-kanak tersebut.

Tiba-tiba lelaki itu naik angin dan memaut pada tingkap sehingga pecah. Dua kanak-kanak yang berada dalam kenderaan itu menangis ketakutan.

Dalam hantaran sama, wanita tersebut memaklumkan dia sudah melaporkan kejadian kepada polis dan lelaki tersebut yang merupakan suaminya juga sudah ditahan.

Pasangan itu dipercayai dalam proses perceraian dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak April lalu.

“Pasal apa buka tingkap suku sahaja? Sehari sebelum kejadian, dia bawa lari beg dokumen aku yang ada dalam kereta.

“Kalau buka penuh, memang kena jeratlah macam sebelum ini. Lagipun aku berhati-hati kali ini sebab dia pernah ugut nak ambil kereta, siap kata nak bakar lagi.

“Sebelum ini juga dah berkali-kali jadi berebut kunci kereta dengan aku, sampai buang angin tayar kereta pun ada,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan lelaki tersebut yang dikatakan mampu memberi trauma kepada anak-anak yang masih kecil.

“Kasihan pada anak-anak. Jangan ingat mereka kecil lagi, mereka boleh lupa apa yang jadi. Berbincanglah elok-elok, jangan biar anak jadi mangsa,” kata Lis.

“Tak sepatutnya berlaku di depan anak-anak. Jelas kelihatan seorang lelaki yang panas baran, harap wanita ini tabah,” kata Qasrina. – K! ONLINE

POPULAR