KUALA LUMPUR – Penderma hati pertama negara, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail kini sedang mencari individu berdarah O yang sudi menderma sebahagian hati mereka untuk membantu menyelamatkan satu nyawa.
Hasrat tersebut disampaikan Wan Mohd. Hafizam kepada Kosmo! ketika dia ditemui di Pusat Darah Negara di sini bersama isterinya yang juga penyanyi, Ezlynn, 39, baru-baru ini.
Menurut Wan Mohd. Hafizam, dia ada menerima panggilan daripada seorang rakan yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang memaklumkan bahawa seorang lelaki kini sedang mengalami masalah hati dan memerlukan pembedahan segera untuk meneruskan kehidupan.
“Rakan saya memaklumkan mengenai perkara itu memandangkan saya berpengalaman menghadapi situasi ini. Saya secara terbuka ingin membantu insan tersebut.
“Individu tersebut mengalami masalah hati dan memerlukan pembedahan secepat mungkin untuk meneruskan kehidupan. Setakat ini, saya tidak boleh mendedahkan identiti individu tersebut, namun dia merupakan setiausaha di jabatan kerajaan.
“Disebabkan itu, saya telah membuat satu hantaran di Facebook bagi mencari individu yang layak untuk membantu insan yang sedang diuji dengan kesakitan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, setakat ini, terdapat tiga individu telah tampil dan menyuarakan hasrat untuk menyalurkan bantuan, walaupun mereka sendiri tidak mengenali siapa yang akan dibantu.
“Saya sangat terharu dengan sambutan ini, ramai telah tampil untuk menyalurkan bantuan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.
“Dua daripadanya adalah dari Kedah dan seorang dari Sarawak. Kita akan jemput mereka ke Pusat Darah Negara bagi menjalani ujian dan memastikan kesesuaian darah,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang berminat untuk menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di media sosial Facebook untuk mendapatkan maklumat, sebelum sebarang proses dilakukan.
“Terdapat prosedur perubatan melibatkan hospital dan pesakit yang harus dilalui. Saya harap dengan usaha bersama isteri ini dapat membantu menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan,” katanya. -K! ONLINE














