fbpx

Just Look Up, balada unggul Ariana Grande

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIANA GRANDE merakamkan lagu yang boleh disifatkan sebagai ‘power ballad’ iaitu Just Look Up (featuring Kid Cudi).

ARIANA GRANDE kembali dengan lagu berentak balada yang mengubat kerinduan ramai peminatnya di seluruh global. Berkolaborasi dengan penyanyi rap Kid Cudi, lagu yang diberi judul Just Look Up itu tidak sahaja mampu merindingkan setiap pendengar namun secara peribadinya, karya berkenaan merupakan antara lagu penuh inspirasi bagi tahun 2021.

Buat penggemar muzik Ariana, kalian pasti menyedari satu realiti bahawa ketika karier nyanyiannya mula meluncur, dia sering merakamkan lagu-lagu berentak perlahan atau balada. Bukan itu sahaja, dia sering dibanding-bandingkan dengan penyanyi otai Mariah Carey dek kemiripan vokal.

Sehinggalah pada satu tahap, Ariana menukar jalur muziknya dengan tidak terlalu menunjuk-nunjukkan kehebatan vokalnya. Itu terbukti menerusi peluncuran diskografi seperti thank you, next dan Positions. Disebabkan strategi sebegitu, Ariana terus berkembang sebagai bintang pop paling berpengaruh abad ini.

Just Look Up yang merupakan lagu tema filem Don’t Look Up memberi peringatan kepada pendengar bahawa Ariana sememangnya antara vokalis handalan dunia.

Nyanyian nada rendah dan tinggi pemilik nama lengkap, Ariana Grande-Butera itu sememangnya berada pada kelas tersendiri.

Buat penulis, bahagian korus lagu berkenaan merupakan korus paling indah yang pernah dirakamkan untuk sesebuah lagu berentak balada sepanjang 2021.

Ditambah dengan kemerduan listrik vokal Ariana, dengar sekali, bahagian paling penting dalam gubahan sesebuah lagu berkenaan terus melekat di kepala

Korus memukau

Aspek paling membuatkan ramai terpegun adalah ketika Ariana melantunkan vokal pada bahagian korus ‘Just Look Up’ kedua.

Itu bukan satu kejutan kerana kita semua tahu dia sememangnya mempunyai kemampuan vokal luar biasa dan perihal itu terus menguatkan kredibilitinya.

Dari segi komposisi muzik, ini merupakan antara rakaman lagunya yang paling hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bukan menidakkan kegemilangannya menerusi segmen lagu berentak rancak tetapi Ariana sememangnya seorang penyanyi balada yang sangat menawan dan Just Look Up terus mengukuhkan kenyataan tersebut.

Progres muzik yang tidak terlalu mengejar ‘rasa’ mewah dalam Just Look Up juga sangat menyenangkan. Hanya dengan dentingan piano yang mempesona, sebenarnya elemen tersebut sudah lebih daripada mencukupi.

Melodi yang dibangunkan untuk karya terasa begitu mudah menghubungkan setiap pendengar.

Seperti yang dikatakan pada perenggan terdahulu, lagu berkenaan tidak mengambil masa lama untuk melekat di minda atau halwa telinga sesiapa sahaja.

Tidak ketinggalan, Kid Cudi sebagai regu yang melunaskan bahagian rap juga menjayakan tugas tersebut dengan baik tetapi lagu ini, bintang utamanya tetap Ariana Grande.

Sebenarnya, besar harapan penulis agar Ariana berkesudian merakamkan lagu-lagu berentak sebegitu, sama seperti awal kemunculannya sekitar sedekad lalu. Alasannya mudah, Ariana Grande memang antara penyanyi terbaik dunia dan itulah faktanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI