fbpx

PDRM kutip RM13.67 juta hari pertama diskaun saman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur menunggu giliran bagi membuat bayaran saman di pejabat JSPT Trafik Jalan Bandar.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berjaya membuat kutipan saman kira-kira RM13.67 juta semasa hari pertama tawaran diskaun pengurangan saman sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tersebut melibatkan jumlah pembayaran saman sebanyak 287,500 di semua saluran termasuk di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kaunter trafik seluruh negara.

“Jumlah ini (RM13.67 juta) adalah bagi tempoh semalam sahaja melibatkan kesemua saluran pembayaran di KLCC, kaunter trafik seluruh negara dan juga secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di KLCC hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, walaupun sambutan menggalakkan namun PDRM akur dengan arahan penutupan kaunter bayaran saman di KLCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula petang ini.

“Penutupan kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, orang ramai masih boleh membayar saman dengan potongan sehingga 80 peratus sehingga Ahad ini di kaunter trafik di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK),” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI