ALOR SETAR – Seramai 133 individu melibatkan pekerja sebuah kilang di Kulim dekat sini dan ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 bagi kluster industri baharu dikenali sebagai Kluster Dah Meha Industri Kulim.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, mereka yang positif terdiri daripada 97 pekerja kilang dan 36 kontak keluarga.
Katanya, kluster itu dikesan menerusi saringan kendiri dijalankan pihak pengurusan kilang tersebut yang terletak di Mukim Padang Meha, Padang Serai dekat Kulim.
“Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 194 individu telah disaring dan 133 daripadanya didapati positif Covid-19.
“Taburan kes positif melibatkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua individu terlibat cuma bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi. – K! ONLINE