fbpx

‘Candra’ indah lirik, aura Indonesia Hitam Saksi Putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK dilancarkan 19 November lalu, lagu Hitam Saksi Putih menduduki tangga kesembilan trending dalam YouTube.

SECARA teknikalnya, penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Haqiem Rusli melancarkan single baharu berjudul Hitam Saksi Putih ketika majlis resepsi perkahwinannya dengan isteri tercinta, Anis Sofea pada 19 November lalu.

Bernuansa pop balada, Hitam Saksi Putih yang ditulis sepenuhnya Haqiem atau nama lengkapnya, Ridzuan Haqiem Rusli bukan hanya kembali mengubat rasa rindu pendengar terhadap kerja seninya bahkan terus membuktikan dia seorang penghibur yang berkaliber.

Bukan sekadar memiliki listrik vokal merdu dan berkualiti, Haqiem, 23, memberi bukti konkrit bahawa dirinya seorang penggubah lagu dan penulis lirik yang faham keperluan yang patut dikongsikan kepada ramai.

Apa yang lebih menarik tentang lagu tersebut, selain komposisi muzik yang indah dan mudah melekat di halwa telinga pendengar, dari aspek nukilan lirik, mengajar kita tentang beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang selama bernafas sebagai seorang manusia berbangsa Melayu di tanah bertuah ini.

Andai kalian sudah mula melazimkan diri dengan lagu berkenaan, ada beberapa perkataan yang mungkin kedengaran tidak selalu singgah di cuping telinga.

Perkataan ‘asing’ dalam lirik

Perkataan-perkataan seperti ‘candra’, ‘ancala’ dan ‘sejuna’ dalam tulisan lirik antara perihal yang memberi keistimewaan tentang betapa bagusnya Haqiem sebagai seorang penulis lirik.

Penulis bukanlah berstatus peminat fanatik Haqiem, namun sangat menghargai kerja-kerja seninya sedari peluncuran lagu seperti Segalanya sehinggalah karya terbaharu kali ini.

Kembali menyentuh aspek komposisi muzik, Hitam Saksi Putih seakan memberi ‘vibe’ lagu-lagu dari negara seberang. Secara peribadi, mendengar karya tersebut mengingatkan penulis kepada lagu-lagu dendangan kumpulan Nidji.

Itu tidak menjadi satu masalah atau mengurangkan kualiti yang terkandung dalam lagu tersebut. Apatah lagi, Malaysia sudah lama tidak diserikan dengan karya-karya dari Indonesia selazim waktu sebelum ini.

Nidji, Peterpan, Radja dan Dewa 19 sangat sinonim menghadirkan karya-karya berkualiti dan menjadi siulan pendengar nusantara terutama di Malaysia.

Jadi, lagu baharu Haqiem seperti menjentik nostalgia era itu.

Seperkara lagi, disebabkan Haqiem sudah menjawat status sebagai seorang suami, Hitam Sakti Putih juga menonjolkan sudut yang tidak pernah dilihat pendengar.

Senang cerita, untuk dibuktikan dalam bentuk perkataan, Haqiem semakin matang sebagai seorang manusia, penyanyi dan komposer.

Itu adalah elemen sangat ‘sihat’ yang ada pada dirinya.

Syabas Haqiem. Bukan sahaja untuk perkongsian karya indah tersebut tetapi atas tanggungjawab baharu memikul tugas sebagai seorang suami.

Semoga kehidupan semakin terus bahagia dan mengharum seiring dengan kerja seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI