fbpx

Ketagih buat persembahan, Imran Ajmain mahu sambung jelajah mini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imran mengakui rindu untuk membuat persembahan pentas.

PETALING JAYA  – Penyanyi Imran Ajmain tidak pernah melupakan arena muzik biarpun kini lebih tertumpu kepada kepakarannya membantu usahawan menembusi pasaran Melayu.

Kata penyanyi Seribu Tahun itu, selepas bertahun-tahun mengadakan persembahan pentas dia tetap ketagih untuk beraksi secara langsung di hadapan penonton.

“Sekarang saya memang fokus terhadap rekaan produk dan pakar pemasaran dengan memberi khidmat pada ahli perniagaan lain. Kiranya menyanyi sudah jatuh nombor dua.

“Tetapi sebagai penyanyi yang pernah rasa sedikit kejayaan sejak 2002 hingga berjaya menghasilkan album sulung lima tahun kemudian, tentu saja menyanyi sudah menjadi darah daging.

“Walaupun punya kerjaya lain, saya tak boleh tinggalkan arena ini. Macam dadah, apabila sudah biasa naik pentas, rasa ketagih untuk buat persembahan lagi dan lagi. Rasa macam memanggil-manggil.

“Sebelum ini saya atur strategi mengadakan persembahan jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan hubungi sendiri cafe dan restoran sebab saya tiada label.

“Sejak 2011 iaitu album kedua saya mulakan promosi jelajah begini diikuti promosi sama pada 2014 dengan 25 lokasi. Paling ramai penonton 200 orang. Walaupun tampak kecil, ia bagi kepuasan apatah lagi saya berjaya jual album dan barangan premium,” katanya kepada Kosmo! Online.

Hingga kini, anak jati Singapura itu sudah menghasilkan empat album iaitu Dengan Secara Kebetulan pada 2007 disusuli Punca dan Tindakan (2009), Setulus Kasih (2014) dan Aidilfitri (2018).

Kata Imran, 40, itu lagi, hingga kini masih ada rakan seperjuangan memintanya berkongsi pengalaman yang sukar dilansanakan penyanyi lain berikutan beberapa kekangan.

“Barangkali permulaan yang mencabar membuatkan saya berhati kental kerana saya harus kreatif untuk mempromosikan diri dan album.

“Boleh dikatakan saya antara kumpulan terakhir penyanyi yang bukan datang daripada program realiti sekali gus kena usaha lebih untuk terus relevan terutama selepas tidak bernaung dengan mana-mana label.

“Jadi saya lebih suka buat lagu sendiri, promosi pun sendiri. Apabila orang dengar lagu dan tonton persembahan, itu kepuasan. Saya tak kisah pun nyanyi di kenduri kahwin bawah khemah atau jadi pilihan kedua iaitu selepas penyanyi lain tolak tawaran.

“Bagi saya semua itu berbalik kepada rezeki dan niat kita. Nyanyi bawah khemah walau sudah punya deretan album bagi saya bukan perkara memalukan. Semangat tengok pengantin dan tetamu terhibur. Saya masih ingat ketika itu saya sudah ada dua ‘show’ di Kuantan, jadi saya selitkan jemputan menyanyi di kenduri kahwin itu,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI