fbpx

Aina kini graduan muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aina Abdul akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang muzik kontemporari di Universiti UCSI

PETALING JAYA – Selepas empat tahun bertungkus-lumus membahagikan masa antara akademik dan kerjaya, penyanyi Aina Abdul akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang muzik kontemporari di Universiti UCSI semalam.

Menurut Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 28, dia mengakui bukan mudah untuk belajar dan bekerja secara serentak.

“Kalau ikutkan saya sebenarnya sudah habis belajar tahun lalu lagi. Namun, majlis konvokesyen terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

“Saya berusaha mahu menamatkan pengajian. Ada ketika saya terlalu letih tetapi saya harus bersungguh-sungguh sampailah berjaya tamatkan pengajian.

“Syukur alhamdulillah akhirnya majlis graduasi berlangsung dengan lancar. Secara rasminya, saya sudah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bercerita mengenai perjalanannya menghabiskan pengajian, pelantun lagu Sumpah itu mengakui terpaksa menangguhkan pengajian sebelum ini disebabkan kerjaya seni yang terlalu sibuk.

“Saya pernah menangguhkan pengajian pada akhir 2014 kerana menyertai Mentor Legend. Selepas itu, saya mula mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa sama, saya sambung belajar.

“Saya sedar menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan diri dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik, jadi saya banyak aplikasikan apa yang saya pelajari dalam karier seni ketika ini,” katanya.

Aina yang meraih trofi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-34 bersama Khai Baharu untuk lagu Nafas Cinta turut berterima kasih atas sokongan tidak terhingga semua pihak.

“Kelab peminat saya, Ainations antara pembakar semangat untuk saya melangkah maju.

“Saya tak boleh berhenti separuh jalan kerana ramai yang memberi sokongan dan aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya sudah berjanji kepada mereka,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN