fbpx

Harga sayur naik, KPDNHEP keluar 8 notis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesahkan sekurang-kurangnya tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di negeri ini ketika ini.

Sayur-sayuran itu adalah kacang buncis yang mengalami kenaikan kira-kira RM3 sekilogram apabila dijual pada harga di antara RM15 hingga RM17 berbanding RM12 hingga RM14 sebelum ini.

Sayur kubis bulat import naik daripada RM4 hingga RM5 sekilogram kepada RM5 hingga RM7, manakala harga sekilogram cili akar merah mengalami kenaikan daripada RM13 hingga RM15 kepada antara RM15 hingga RM20.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur di sini sejak Rabu lalu sehingga semalam.

Kata beliau, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran sepanjang tahun ini untuk memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga barangan tersebut.

Jelasnya, selain pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP, sebanyak 186 jenis barangan turut dipantau secara harian oleh Pegawai Pemantau Harga yang merangkumi 41 premis pasar serta 31 pasar raya super dan hyper terpilih di seluruh negeri.

“Berdasarkan pemeriksaan pada 22 November sehingga semalam di pasar awam, terdapat beberapa jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga dan ada beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga.

“Bagaimanapun, harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI