fbpx
J. Partiban menjaringkan gol tunggal buat KL City di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Separuh masa pertama: KL City ‘tutup mulut’ Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) meraih kelebihan awal untuk meletakkan sebelah kaki ke pentas final Piala Malaysia apabila meraih keputusan 1-0 selepas tamat aksi babak pertama saingan separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pasukan pelawat kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik dengan meletakkan dua pemain import sensasi, Paulo Josue dan Romel Morales.

Pengendali Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan turut membuat percaturan ampuh dengan jentera serangan diketuai oleh gandingan Sony Norde dan Manuel Ott.

Skuad tuan rumah berjaya melakukan beberapa siri percubaan awal hasil sepakan Norde tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Bagaimanapun, tuah lebih memihak kepada The City Boys yang membuka jaringan menerusi ledakan pemain sayap, J. Partiban pada minit ke-8.

Tersentak dengan gol tersebut, Melaka memperkemaskan jentera serangan dengan Norde serta pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya tetapi Kevin Ray kekal cemerlang mengawal gawang KL City.

Pasukan pelawat terus tampil dengan corak permainan bertahan dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pasukan Melaka dan KL City berpeluang untuk mencipta sejarah dengan menamatkan penantian untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia kali ini.

Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Isnin lepas. – K! ONLINE

POPULAR