fbpx

APDN 2020 rai pencapaian industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI melancarkan APDN 2020 sambil diperhatikan oleh Alexander (kiri) dan Hasnol Zam Zam (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang julung kali diadakan meraikan pencapaian industri dalam sektor perdagangan pengedaran seperti peruncitan, pengedaran, perusahaan mikro, kecil dan sederhana, francais, jualan langsung dan e-dagang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, APDN 2020 dirancang bagi mengiktiraf pemain industri yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan serta produk yang ditawarkan.

Tambah beliau, kerajaan melalui KPDNHEP sentiasa menggerakkan jentera pemulihan ekonomi domestik menerusi inisiatif berimpak tinggi bagi merancakkan lagi perkembangan sektor perdagangan pengedaran.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM33 juta di bawah Bajet 2022 khusus untuk merancakkan semula sektor perdagangan pengedaran.

“Melalui peruntukan tersebut, KPDNHEP akan meneruskan kempen-kempen berimpak tinggi seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang telah pun dilaksanakan dan akan diperhebatkan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada APDN 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

Turut hadir Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

KBBM mencatatkan impak positif kepada ekonomi domestik dengan nilai jualan barangan buatan Malaysia bagi tahun 2020 telah berjaya mencecah RM3.3 bilion berbanding RM2.87 bilion pada tahun 2019.

Sementara itu, PJM berjaya mengatasi sasaran nilai jualan sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun 2020 dengan merekodkan jualan RM135.9 billion.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Perdana Menteri menyampaikan lima Anugerah Perdana buat pemenang yang terdiri daripada Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar produk/unit simpanan stok terbaik bagi kategori PKS. Mydin Mohamed Holdings Berhad pula dinobatkan sebagai Penyertaan Terbaik Kategori KBBM untuk segmen peruncitan.

Selain itu, Ecart Services Malaysia Sdn. Bhd. (Lazada Malaysia) diiktiraf sebagai Pengendali Pasar Dalam Talian Terbaik kategori E-dagang.

Global Art & Creative Sdn. Bhd. pula diangkat sebagai Francais Terbaik (dalam negara) bagi kategori francais, manakala Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dianugerahkan pencapaian Kedai Serbaneka Stesen Minyak Terbaik bagi kategori Stesen Minyak. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI