fbpx
Mohd. Tauffiq (depan) mengimbau kenangan ketika berulang-alik di sempadan Malaysia-Singapura dengan menunggang motosikal di Tambak Johor sebelum Covid-19 melanda.

‘Rindu mahu kembali bersesak-sesak di Tambak Johor’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Diluah mati emak, ditelan mati bapa. Itulah dilema yang ditanggung keba­nyakan pekerja Malaysia di Si­ngapura.

Mereka kini merasa berbelah bahagi sama ada mahu terus mencari rezeki di Kota Singa itu atau terus pulang untuk berada dekat bersama keluarga tersa­yang di Malaysia.

Bagi Mohd. Tauffiq Abu Sharil, 34, dia terpaksa berhenti kerja sebagai penghantar bungkusan di Si­ngapura dan memilih untuk kekal berada di Malaysia sejak pintu sempadan negara ditutup.

Dia yang sudah lebih empat tahun bekerja di Singapura akur sejak sempadan Malaysia-Si­ngapura ditutup lebih setahun lalu akibat penularan Covid-19.

Mohd. Tauffiq memberitahu, kos sara hidup di Singapura amat tinggi, namun gaji yang diperoleh pula tidak mampu untuk dia ­menyewa rumah di negara jiran itu.

Bukan itu sahaja, katanya, makan, minum dan kos pengangkutan juga perlu diambil kira jika dia tinggal di Singapura.

“Sebab itu, saya lebih suka berulang-alik di antara Johor Bahru dan Si­ngapura setiap hari menunggang motosikal.

“Apa yang paling utama sekarang, saya dapat menjaga isteri, anak-anak serta menjenguk ibu bapa saya di sini.

“Jika saya tinggal di Singapura, saya tidak dapat bayangkan kesukaran untuk pulang ke sini jika berlaku kecemasan dalam keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Bandar IOI Segamat di sini baru-baru ini.

Bapa dua cahaya mata itu kini meneruskan kelangsungan hidup menyara keluarga dengan bekerja sebagai penghantar makanan dan menjual produk peria crispy di sekitar Segamat dan Johor Bahru.

Sebelum itu, Mohd. Tauffiq pernah ditawarkan oleh syarikat lama untuk kembali semula ke Singapura pada Ogos tahun lalu, namun dia terpaksa menolaknya kerana bimbang akan nasib anak-anaknya yang masih kecil di sini.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerja ke Singapura jika sempadan negara dibuka untuk perjalanan ulang-alik secara ha­rian seperti sebelum ini.

“Saya juga rindu dengan ke­sesakan di Tambak Johor ketika berulang-alik setiap hari ke Singapura dari Johor sebelum ini untuk pergi be­kerja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN