fbpx

Eksport produk agrikomoditi melonjak RM155 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun ini melonjak sebanyak 49 peratus kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), faktor peningkatan ini berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah sehingga yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan dan pertambahan lebih 100 peratus eksport sarung tangan getah.

“Sehingga September lalu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion.

“Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM52 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak enam peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama, pandemik Covid-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia, malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

Bagaimanapun, isu berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan direalisasikan mulai awal bulan depan.

Selain itu, bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 38 peratus kepada keseluruhan nilai eksport berkenaan, telah meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111 peratus kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat kenaikan sebanyak 118 peratus kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI