fbpx

MHC ubah jadual Liga Hoki Remaja Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIL (kanan) menjelaskan perubahan tarikh baharu bagi saingan MJHL pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional hari ini. - MHC

KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) yang sepatutnya bermula 26 November ini terpaksa diubah ke tarikh baharu pada 11 sehingga 30 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh menjelaskan, ia terpaksa dibuat kerana pihaknya tidak boleh menunggu lebih lama kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi pelepasan kepada setiap pemain.

Kata beliau, tarikh baharu itu dipilih kerana kejohanan tersebut akan berlangsung semasa cuti persekolahan sekali gus tidak memerlukan kebenaran KPM daripada segi pelepasan pemain.

“Bukan tidak dapat kebenaran daripada KPM tetapi kami tidak boleh menunggu lagi untuk dapatkan kebenaran tersebut. Sekiranya kami menunggu kebenaran KPM pada saat akhir, mungkin ramai pemain tidak boleh beraksi.

“Oleh sebab itu, kami anjakkan tarikh ke cuti sekolah kerana tidak memerlukan pelepasan daripada KPM. Bagaimanapun, pengurus pasukan perlu berhubung dengan ibu bapa setiap pemain,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Tambah beliau, menerusi perubahan jadual itu, segala tanggungjawab sepanjang kejohanan berhubung risiko penularan Covid-19 akan digalas oleh pengurus pasukan masing-masing.

“Perkara itu memang menjadi tanggungjawab mereka sepenuhnya dan kami di MHC akan memberikan sepenuh bantuan kepada setiap pasukan yang memerlukan semasa pertandingan berlangsung,” ujarnya.

Sebagai rekod, sebanyak 25 pasukan sudah mengesahkan penyertaan untuk beraksi pada kejohanan tersebut dengan lapan pasukan beraksi dalam divisyen satu, manakala 17 pasukan lagi akan bersaing dalam divisyen dua. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI