fbpx

Kumpulan pencuri barang kemas selebriti tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barang kemas, wang tunai, berlian dan batu-batu bernilai dicuri dari kediaman Ecclestone. – Polis Met

LONDON – Sekumpulan pencuri barang kemas yang terlibat dalam sebilangan kes berprofil tinggi melibatkan kediaman selebriti dan orang kenamaan lain di Britain, dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah mencuri pelbagai barangan yang kesemuanya berjumlah £26 juta (RM145 juta), lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.

Jugoslav Jovanovic, Alessandro Maltese dan Alessandro Donati dari Itali masing-masing mengaku bersalah memecah masuk dan mencuri di rumah agam milik selebriti Britain, Tamara Ecclestone pada Disember 2019.

Mereka turut disabitkan dengan kejadian kecurian di kediaman legenda bola sepak Chelsea, Frank Lampard serta Pengerusi Bandar Leicester, mendiang Vichai Srivaddhanaprabha.

Ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman penjara 28 tahun secara keseluruhan.

Pendakwa raya, Timothy Cray berkata, kumpulan tersebut merancang dan melaksanakan jenayah kecurian yang mendapat perhatian di seluruh Britain.

“Semua kejadian melibatkan kajian teliti serta tinjauan menyeluruh. Lebih tepat lagi, kesemua mangsa menjadi sasaran disebabkan kekayaan mereka,” katanya.

Tambah Cray, insiden  kecurian kedua dan ketiga dilakukan tanpa perikemanusiaan, di mana harta benda dan kediaman mangsa digeledah.

“Peti dan kabinet keselamatan telah rosak serta terbuka. Kehadiran sekurang-kurangnya tiga orang pencuri di kawasan hartanah mewah boleh menjadi ancaman fizikal terhadap sesiapa sahaja yang mengganggu mereka,” tegas Cray.

Cray turut memberitahu mahkamah bahawa pada 30 November 2019, Jovanovic telah pergi ke London dari Stockholm, Sweden bersama seorang lagi suspek bernama Daniel Vukovic.

Jovanovic dirujuk sebagai individu kedua yang mengetuai kumpulan itu selain Vukovic merupakan dalang utama merancang kegiatan mereka di Britain.

Vukovic bagaimanapun  masih dalam buruan pihak berkuasa. Siasatan BBC baru-baru ini mendedahkan bahawa dia mempunyai sekurang-kurangnya 19 identiti dan dipercayai berada di Serbia. 

Donati, Jovanovic dan Maltese meninggalkan Britain pada 18 Disember 2019 dan ditahan di Itali pada 2020 sebelum diekstradisi ke Britain. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN