fbpx
BIARPUN menerima gaji yang agak lumayan, namun Irfan masih mencuri wang rakan serumah kerana sudah terbiasa dan seronok melakukannya. – GAMBAR HIASAN

Mencuri duit kawan untuk suka-suka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang kalau sudah terbiasa berbuat jahat, sukar untuk berubah dan akan terus dengan perbuatan tersebut untuk jangka masa yang agak lama.

Itulah yang berlaku ke atas seorang pemuda dalam kolum Pengakuan minggu ini yang terbiasa mencuri dan akhirnya hingga hari ini masih belum dapat meninggalkan tabiat buruk tersebut.

Ia bermula disebabkan ingin mengisi perut sementara menantikan gaji pertamanya pada hujung bulan. Kini walaupun gajinya boleh dikatakan lumayan, namun sukar meninggalkan tabiat buruk itu kerana sudah terbiasa dan sebati dalam diri.
——————————————————————————————————————-
BENAR kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah nasib dialami oleh Irfan, 25, (bukan nama sebenar) selepas tabiatnya yang suka mencuri diketahui rakan serumah.

Biarpun kisahnya itu pernah ‘dijaja’ di laman sosial oleh rakan-rakan yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu, namun anak kelahiran sebuah negeri di Selatan tanah air ini langsung tidak berasa malu dan bersalah dengan perbuatannya.

Jauh di sudut hatinya, pemuda ini mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Berkongsi cerita, menurut pemuda yang bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang, tabiat ‘panjang tangannya’ itu bermula sewaktu pertama kali berhijrah ke Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran bekerja.

Bermula dengan mencuri untuk mengisi perut sementara mendapat gaji pertamanya, graduan muda ini semakin terbiasa dan terbawa-bawa biarpun kini memperoleh gaji yang agak lumayan pada setiap bulan.

“Saya datang daripada keluarga yang agak sederhana.

“Ketika belajar dahulu, tidak terasa sangat memandangkan duit biasiswa dan kiriman daripada ibu bapa lebih daripada mencukupi untuk makan, minum dan belajar.

“Kadangkala saya boleh keluar menonton wayang atau membeli-belah dan bercuti bersama rakan-rakan.

“Benar kata orang, kita hanya berasa betapa sukarnya hidup sewaktu memasuki alam pekerjaan yang mana semuanya perlu diuruskan sendiri, terutamanya dari segi wang ringgit,” katanya.

Tidak lagi menerima biasiswa dan hanya diberikan wang saku RM1,000 untuk permulaan hidup berdikari di tengah kota oleh kedua-dua orang tuanya, Irfan mengakui mati akal apabila perlu melunaskan pelbagai bil termasuk bayaran sewa rumah.

Itu belum lagi dicampur dengan wang untuk berpeleseran dengan teman wanitanya pada hujung minggu.
Entah bagaimana, Irfan mendapat idea untuk mencuri wang rakan serumahnya sewaktu mereka tidur.

“Lelaki biasalah dompet diletak merata-rata. Mereka jarang ambil pusing hal-hal sebegini kerana mempercayai 100 peratus dengan rakan-rakan serumah.

“Pada mulanya, saya hanya mengambil RM20 untuk membeli nasi bungkus kerana sudah jemu makan mi segera setiap hari.

“Daripada takut-takut, saya semakin berani sehingga tergamak mencuri wang dalam jumlah yang besar.

“Bukan itu sahaja, saya turut mencuri beberapa barangan mewah dan menjualnya untuk mendapatkan wang,” kongsinya.

Biarpun sebulan kemudian, Irfan mula menerima bayaran gaji pertama, namun lelaki ini masih lagi melakukan perbuatan terkutuk itu.

Katanya, dia sudah terbiasa dan seronok melakukannya kerana menyifatkan perbuatan mencuri itu sebagai satu perkara yang mencabar bagi dirinya.

“Mencuri pun perlu ada strategi kerana silap percaturan, kita pasti akan tertangkap. Apa yang menyeronokkan apabila saya mengetahui jumlah wang yang ada dalam beg duit rakan-rakan.

“Lebih seronok apabila barang-barang berharga mereka yang dijual secara dalam talian dibida pada harga yang tinggi. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan langsung sebelum ini,” tambahnya.

IRFAN tidak berasa bersalah menjual barangan milik rakan serumahnya di media sosial. –GAMBAR HIASAN

Hasil daripada wang curi itu, Irfan laburkan untuk membeli aksesori kereta.

Selebihnya digunakan untuk bercuti bersama teman wanitanya di hotel-hotel lima bintang di seluruh negara.

Tidak mahu terus-menerus dipalit rasa bersalah setiap kali mencuri, Irfan akan membelanja rakan-rakan serumahnya menikmati hidangan makanan malam yang agak mewah setiap hujung bulan.

Disebabkan itu, kehidupan Irfan dilihat cukup mewah sehingga ada yang mencurigai dirinya.
Tambahan pula dia baru sahaja diambil bekerja.

Biarpun gajinya agak lumayan, namun itu masih belum cukup untuk dirinya menjalani kehidupan serba mewah seperti itu.

Lima bulan bersenang lenang dengan hasil curi, perbuatan Irfan akhirnya berjaya dihidu oleh rakan serumah selepas salah seorang daripada mereka memasang televisyen litar tertutup secara diam-diam.

Tidak mengakui perbuatan yang dilakukannya itu salah biarpun ada bukti kukuh, Irfan sebaliknya memutar belitkan keadaan seolah-olah dirinya dianiaya.

Bagi melepaskan dirinya, dia kemudian mengambil keputusan untuk berpindah daripada rumah sewa tersebut.

Katanya, dia masih lagi dengan tabiat ‘panjang tangan’ sehingga ke hari ini.

“Setakat ini, sudah tiga buah rumah sewa saya keluar masuk.

“Setiap kali ‘terkantoi’, saya berpura-pura seperti dianiaya dan meninggalkan rumah tersebut.

“Sukar untuk saya ubah perangai apabila sudah terjebak.

“Buat masa ini saya selesa hidup seperti ini dan belum terfikir untuk berubah,” ceritanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN