fbpx

Suami fail permohonan untuk Nynaa kembali taat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata

KUALA LUMPUR – Suami kepada pelakon Nynaa Harizal, Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas memfailkan permohonan supaya isterinya kembali taat.

Permohonan itu difailkan Mohamed Fahmi, 29, sebagai plaintif terhadap Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal ,25, selaku defendan di hadapan Penolang Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Noriah Zakaria.

Tarikh 1 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes terhadap permohonan itu.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara permohonan plaintif, ialah defendan diperintah kembali taat dan pulang kediaman mereka di Jalan Pinang di sini.

Selain itu permohonan turut menyatakan ia bertujuan menyelamatkan pernikahan mereka supaya defendan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan hidup dalam kasih sayang.

Sementara itu Mohamed Fahmi ketika ditemui selepas prosiding pemfailan permohonan itu, berkata, dia bersedia dan pada bila-bila masa menerima kepulangan isterinya itu.

“I love you sayang (saya cintakan awak). Saya sentiasa ada untuk awak (Nynaa). Awak boleh hubungi saya bila-bila masa…saya harap kita dapat berjumpa dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Mohamed Fahmi diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Terdahulu bapa Nyna mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas kesalahan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.

Harizal Hashim, 49, yang juga seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar  membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Berdasarkan pertuduhan, Harizal yang merupakan bapa Nynaa iaitu pelakon drama ‘Kekasih Paksa Rela’ didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada pukul 1.40 pagi pada 2 November lalu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember untuk sebutan.

Sebelum ini pada 3 november lalu KOSMO! Online melaporkan Mohamed Fahmi tidak pasti di mana keberadaan isterinya namun mengesyaki Nynaa kini berada di kediaman keluarga mertuanya di Johor selepas ‘dilarikan’ tanpa kebenarannya beberapa hari lalu.

Difahamkan, bapa kepada Nynaa yang merupakan seorang pesara tentera tidak merestui perkahwinan mereka disebabkan faktor kewangan.

Justeru, Mohamed Fahmi telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam berhubung kejadian terbabit dan meminta pihak polis menyelamatkan isterinya yang dakwanya, dilarikan secara paksa.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI