fbpx

Kebun belakang rumah bukti jiran sepakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perbezaan lorong belakang rumah penduduk sebelum dan selepas yang dikongsikan di laman Facebook.

PETALING JAYA – Apabila berbicara tentang kehidupan di bandar sudah pasti ramai yang terbayangkan kesibukan bekerja, kos sara hidup yang tinggi dan hutan batu selain kurangnya semangat kejiranan sesama penduduk di sesebuah kawasan perumahan.

Namun, lain pula ceritanya di sebuah kejiranan di Taman Perwira, Gombak Setia, Gombak apabila penduduk di kawasan tersebut bersatu hati mengerjakan lorong di belakang rumah mereka menjadi kebun yang subur dan cantik sehingga menarik perhatian ramai.

Menerusi perkongsian beberapa keping gambar di Facebook oleh Aida Haniza Adnan, kelihatan penduduk di kawasan tersebut berjaya menukar lorong belakang rumah mereka yang dahulunya ‘kelam’ menjadi sebuah kebun pelbagai jenis sayuran yang ‘ceria’.

“Usaha padu lapan keluarga merealisasi lorong belakang yang satu ketika dahulu terbiar dan tidak diberi perhatian kepada sebuah kebun taman yang bukan sahaja indah dan cantik tetapi memberi hasil pada penghuninya.

“Kami juga mempraktikkan gaya hidup hijau dengan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), mengitar semula sisa makanan dan kebun untuk dijadikan kompos dan baja serta mengitar semula 3R (plastik, tin dan kertas),” katanya.

Menurut Aida Haniza, ‘Garden 8’ merupakan tempat mereka mengukuhkan ukhwah sesama jiran tetangga dan mengeluarkan peluh dengan aktiviti berkebun selain tempat anak dan cucu belajar mengenai sayuran juga herba kerana semua tanaman telah sedia dilabelkan.

“Kami berharap agar Garden 8 dapat memberi inspirasi pada sesiapa sahaja untuk membangunkan kebun kejiranan di kawasan rumah masing-masing. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” ujarnya.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna Facebook yang rata-ratanya mengakui cemburu dengan hubungan baik sesama jiran di kawasan perumahan tersebut selain turut ingin menghasilkan kebun yang cantik seperti mereka.

“Idea yang sangat baik. Banyak kebaikan jiran sepakat membawa berkat. Silaturrahim terjalin. Rezeki murah. Keharmonian pun hadir. Hidup pun aman tenteram. Bahagia masyarakat setempat. Terbaik,” kata Rasidah Saidin.

“Seronok sangat tengok. Baru ni ada lalu kawasan sini. Kagum sangat tengok. Tahniah pada lapan keluarga di sini yang buat kelainan luar biasa di kawasan tersebut. Di sebalik kawasan perumahan yang padat, ada juga tempat untuk beristirehat, terapi minda,” ujar Mariam Najib.

“Wow! Tahniah! Seronoknya, saya nak jadi jiran awak juga la,” luah Sylvia Yong.

“Bagusnya dapat jiran tetangga yang sama-sama menjaga kebersihan dan kecantikkan,” kata Azizah Aziz. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI