fbpx

ANMS budayakan hidup sihat Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dengan matlamat membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai penggerak utama dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“ANMS yang diterajui dua kementerian ini, dan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan yang lain, merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.

“ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia. Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat,” katanya ketika berucap merasmikan ANMS yang disiarkan menerusi saluran TV1 hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi menjayakan ANMS, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation iaitu Keseluruhan Negara dengan menjalinkan kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.

Katanya, kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan NGO adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan.

“ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada 2021 sehingga 2025, dan penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir pada 2030,” katanya.

Ujarnya, ia melibatkan empat teras utama, 10 strategi, dan 24 inisiatif.

Empat Teras Utama tersebut, katanya, adalah Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat, Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri dan Memantapkan Kebersihan Persekitaran.

Menurut beliau, ANMS turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK-12), terutamanya dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Antara strategi yang akan digunakan dalam RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan.

“Melalui dasar ini, beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuklah penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.

Bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat dipertingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti (MyCHAMPION) akan diperkukuhkan, terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan,” katanya.

Ujarnya, dengan tahap literasi kesihatan yang tinggi, semua pihak akan mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kesihatan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi.

“Keluarga Malaysia juga dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan diperlukan untuk membuat keputusan berkenaan kesihatan dan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat, sekali gus dapat mengekalkan kesihatan yang baik.

“Contohnya, Keluarga Malaysia dalam kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan, dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim PekaB40,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI