PETALING JAYA – Sebuah syarikat perkhidmatan kenderaan sewa di ibu negara bukan sahaja menyediakan kereta untuk disewa pelanggannya, malah turut menawarkan pakej menarik bersama pengawal peribadi berlesen.
Pengarah AHMJ Luxury Car Rental KL, Azam Junuh, 36, memberitahu, pakej yang ditawarkan syarikatnya itu ternyata menjadi pilihan pelanggan ketika ini.
Menurutnya, kadar sewa yang dikenakan melalui pakej itu adalah antara RM800 hingga RM1,800 untuk tiga jam sahaja bergantung kepada jenis kenderaan yang disewa pelanggan.
“Pakej istimewa ini biasanya didatangkan dengan sebuah kenderaan mewah bersama dua pengawal peribadi berlesen.
“Kebiasaannya ada golongan orang kenamaan (VIP) atau peniaga yang mahu menggunakan perkhidmatan pengawal peribadi ini.
“Bagi golongan peniaga, mereka biasanya mahu membuat kandungan dalam media sosial untuk menampakkan kemewahan serta kejayaan mereka dalam dunia perniagaan,” katanya kepada Kosmo!.
Berita berkaitan: Sewa kereta mewah berlagak jadi jutawan
Dalam pada itu, Azam memberitahu, sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan kerajaan, kenderaan sewa yang ada dalam simpanannya habis disewa pelanggan.
“Kadangkala kereta sewa yang ada tidak cukup untuk menampung permintaan pelanggan. Saya terpaksa mencari dengan syarikat lain untuk pajak kenderaan mereka. Ternyata industri ini kembali bernyawa.
“Namun, yang peliknya, kereta mewah yang menjadi pilihan ketika ini berbanding kereta-kereta sewa biasa seperti Perodua Myvi atau jenama-jenama lain,” ujarnya.
Azam bersama beberapa kenderaan mewah yang terdapat di premisnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.














