PETALING JAYA – Sanggup berhabis wang sehingga RM8,000 sehari untuk menyewa kereta mewah semata-mata ingin nampak hidup mewah seperti seorang jutawan dan seolah-olah mereka sudah berjaya dalam dunia pelaburan dan bisnes.
Itulah ‘wayang’ dan trend terbaharu yang kini sering dimainkan sebahagian pedagang forex, penganjur saham skim cepat kaya, ejen pemasaran berbilang tingkat (MLM) dan pengusaha kosmetik bagi menarik pelanggan untuk menyertai perniagaan mereka.
Antara kereta mewah yang menjadi pilihan mereka daripada beberapa syarikat sewa kenderaan tempatan seperti McLaren, Lamborghini, Ferrari, Porsche, BMW dan Mercedes-Benz.
Perkara itu terbongkar selepas seorang pengusaha sewa kereta mewah mendedahkan kesemua lapan kenderaan mewah di premisnya telah habis disewa bagi membolehkan ‘jutawan palsu’ itu membuat kandungan di media sosial.
Pengusaha itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, golongan terbabit sanggup berhabis wang sehingga RM8,000 sehari bagi menyewa kenderaan mewah daripada syarikatnya semata-mata ingin menampakkan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing.
“Zaman sekarang, mereka akan show off di media sosial terutamanya di Instagram dan TikTok. Ramai yang kita tengok golongan ini akan memandu kereta mewah dalam klip video di media sosial mereka.
“Orang ramai jangan tertipu, kebanyakan kereta mewah yang ditunjukkan mereka sebenarnya bukan dibeli sendiri hasil titik peluh mereka berniaga, sebaliknya hanyalah kereta sewa,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Wong memberitahu, kebanyakan kereta mewah yang disewa di premisnya bermula pada harga RM2,500 sehingga RM8,000 sehari bergantung kepada jenis kenderaan yang diminta pelanggan.
“Jangan terkejut jika saya katakan, dalam syarikat saya ada lapan buah kereta sport dan mewah antaranya Lamborghini, semua kereta itu sudah habis disewa.
“Mereka sewa tidak lama, cukup sekadar sehari atau dua hari untuk mereka show off dan membuat content di media sosial bagi menarik pelanggan sebelum menghantar semula kereta yang disewa itu,” ujarnya.
Seorang lagi pengusaha sewa kereta yang hanya mahu dikenali sebagai John berkata, selain daripada golongan yang konon-kononnya jutawan itu, mereka yang betul-betul kaya juga menyewa kenderaan mewah daripada syarikatnya.
Katanya, kebanyakan mereka memberi alasan ingin mencuba terlebih dahulu kereta mewah itu sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
“Orang kaya yang betul-betul berduit juga memilih untuk menyewa kenderaan mewah, mereka ingin mencuba terlebih dahulu kereta-kereta ini sebelum mereka membelinya.
“Jika mereka nak cuba di show room, mereka tidak boleh cuba dalam tempoh yang lama, tidak boleh bawa keluarga. Jadi mereka memilih untuk menyewa sahaja dalam masa sehari bagi menguji kemampuan kenderaan yang ingin dibeli,” ujarnya.-K! ONLINE














