fbpx

PRN Melaka: Polis panggil penganjur penyokong calon esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Melaka akan memanggil penganjur kumpulan penyokong calon-calon PRN selewat-lewatnya esok untuk diambil keterangan.

MELAKA – Polis akan memanggil penganjur kumpulan penyokong parti yang mengiringi calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di empat buah Pusat Penamaan Calon (PPC) di sini semalam selewat-lewatnya esok bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti beberapa individu yang dipercayai penganjur kumpulan tersebut dan akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Katanya, setakat ini sebanyak empat laporan polis diterima sepanjang hari penamaan calon membabitkan kejadian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, DUN Tanjung Bidara, DUN Kota Laksamana dan DUN Kuala Linggi.

“Kita telah mengenal pasti beberapa individu dipercayai penganjur kumpulan penyokong yang telah mengiringi calon-calon di PPC dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan selewat-lewatnya esok pagi.

“Kertas siasatan berhubung kejadian tersebut akan dilengkapkan dalam tempoh tiga hari sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, kertas siasatan tersebut dibuka mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, sehingga hari ini pihaknya telah menerima dua permohonan permit daripada parti politik untuk menjalankan kempen PRN.

“Kita telah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai permit tersebut yang membenarkan pemohon mengadakan kempen melalui pembesar suara sahaja.

“Setakat ini dua permohonan telah diterima daripada parti DAP. Kepada parti-parti politik lain yang ingin memohon permit berkempen melalui pembesar suara hendaklah mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Daerah (KPD),” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI