fbpx

Dua skop ditetapkan untuk peralihan ke endemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan dua skop penilaian bagi memastikan proses peralihan fasa pandemik ke endemik dilaksanakan dengan selamat, berhati-hati dan secara lestari iaitu situasi penularan Covid-19 dalam negara dan kapasiti bagi respon kepada Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, terdapat tujuh domain dalam skop berkenaan iaitu kes teruk, kematian, penularan jangkitan Covid-19, liputan vaksinasi, kapasiti fasiliti hospital, kapasiti makmal dan petugas kesihatan.

“Bagi setiap domain, terdapat parameter atau indikator yang digunakan untuk mengukur kesediaan Malaysia beralih ke fasa endemik.

“Parameter itu adalah kadar kemasukan ke wad bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima per 100,000 populasi; peratusan kes berumur melebihi 60 tahun dan ke atas dengan komorbid dan kadar kematian purata kes dalam tempoh tujuh hari (mengikut tarikh kematian, denominator adalah purata jumlah kes),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Noor Azmi berkata, parameter lain membabitkan kadar insiden purata kes bagi tempoh tujuh hari (per 100,000 populasi), kadar positif daripada sampel pesakit Influenza (ILI) dan jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), prapembedahan dan prakemasukan ke wad dan liputan vaksinasi.

Jelasnya, kapasiti untuk respon membabitkan penilaian kadar penggunaan katil di hospital untuk kes Covid-19, kadar penggunaan katil di ICU, keperluan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan keputusan ujian RT PCR diperolehi dalam tempoh 48 jam.

Turut dinilai katanya adalah kadar peratusan ujian positif per jumlah ujian dijalankan (RT PCR, RTK Ag profesional dan kendiri) serta peratusan kakitangan kesihatan terkesan dengan jangkitan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI