fbpx

Air pasang besar landa beberapa kawasan di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fenomena air pasang besar berlaku di kawasan perkampungan berdekatan Medan Selera Ikan Bakar Teluk Kumbar, Batu Maung pagi tadi.

GEORGE TOWN – Beberapa penduduk yang terjejas dengan fenomena air pasang besar di negeri ini terpaksa menahan mata dan berjaga hingga ke awal pagi berikutan paras air dikatakan naik lebih tinggi berbanding semalam.

Mereka terdiri daripada penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan pantai dan kuala di Lebuh Macallum, Telok Tempoyak di Batu Maung, Kampung Pulau Betong dan Kuala Sungai Pinang di Balik Pulau.

Rata-rata penduduk meluahkan kebimbangan dengan keadaan air laut yang dianggap luar biasa sehingga memasuki ke segenap ruang rumah dan kawasan tempat meletak kereta sejak pukul 1 pagi tadi.

Keadaan di kawasan flat di Lebuh Macallum turut dilimpahi air.

Seorang penduduk di Kampung Pulau Betong, Mohd. Khalid Hassanudin, 53, berkata, dia terpaksa menahan mata sehingga pagi memandangkan keadaan air semakin naik hingga satu meter di segenap halaman rumah, dapur dan bilik tidur rumahnya.

Menurutnya, fenomena air pasang besar kali ini dianggap paling teruk disebabkan air dari kuala Pulau Betong melimpah hingga ke ruang dalaman rumah penduduk.

“Kedudukan rumah saya hanya terletak di belakang kuala. Kali terakhir berlaku kejadian air pasang besar adalah pada tiga atau empat tahun lalu.

“Kali ini, saya terpaksa menerima hakikat kerana kejadian berlaku ketika saya sedang menjalani kuarantin akibat positif Covid-19 pada 1 November lalu.

“Saya kini hanya tinggal seorang diri di rumah manakala isteri dan anak menetap sementara di rumah ibu saudara. Saya terpaksa redah air dan harunginya seorang diri,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, situasi sama turut berlaku di tempat meletak kereta di Medan Selera Ikan Bakar di Telok Tempoyak.

Keadaan air naik hingga ke kediaman yang terletak bertentangan dengan pantai dan turut disifatkan penduduk sebagai kejadian paling luar biasa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI