fbpx

USC 2021 serlah bakat masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjuran USC selama tiga tahun berturut-turut sejak 2019 telah berjaya mengembangkan bakat-bakat baharu terutamanya dalam dunia teknologi serta melengkapkan pesertanya dengan kemahiran keusahawanan serta peluang membangunkan idea perniagaan.

PETALING JAYA – Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berjaya mencungkil bakat baharu bagi teknologi masa depan menerusi penganjuran University Startup Challenge (USC) 2021 yang berlangsung secara maya selama lebih enam bulan baru-baru ini.

Dengan membawakan tema Teknologi dan Inovasi Sosial, para peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia perlu memikirkan idea perniagaan berkesan dan menarik, yang seterusnya dapat menyelesaikan masalah masyarakat dan sosial.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor dalam ucapan pembukaan acara final, USC Demo Day yang berlangsung pada 31 Oktober lalu berkata, beliau teruja dengan dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh barisan peserta USC 2021.

“Kami telah melihat cadangan dan idea menarik daripada para peserta dan berharap cabaran ini mampu menyerlahkan lagi bakat serta penyelesaian yang ditawarkan, seterusnya menjalin kerjasama jangka panjang dengan mereka,” katanya.

Amiruddin

Kesemua 30 finalis program dilihat berjaya memberikan persembahan idea yang menarik berkenaan cadangan perniagaan mereka serta menepati kehendak industri.

Cabaran USC 2021 dibahagikan kepada dua trek iaitu Technology Track dan Impact Driven Track, yang mana kesemua peserta mendapat pengalaman berharga melalui enam modul kandungan yang direka untuk menyemai pengalaman yang diperlukan dalam memulakan sesebuah perniagaan.

Kategori Technology Track menyaksikan lima buah kumpulan dengan idea menarik daripada pelbagai industri dinobatkan sebagai pemenang iaitu Qarbotech, foundX, Swifty, GIGGERS MALAYSIA dan Nexmve. Kumpulan BRIDAL.CO pula diumum sebagai pemenang pilihan daripada pengundi awam.

Bagi kategori Impact Driven Track pula, barisan pemenangnya adalah kumpulan Afterkelas, BURGERBAE, PLEASE, Foodable dan Farm on Demand. Kumpulan KrafLah dipilih sebagai pemenang oleh pengundi awam.

Pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah sehingga RM10,000 bagi kegunaan pembangunan produk dan pasaran, tiga bulan tempat di ruang bekerja MaGIC secara percuma, alat permulaan dalam talian percuma dan juga akses ke program lanjutan.

Afterkelas yang dinobatkan sebagai pemenang utama kategori impak sosial menyediakan platform e-pembelajaran bagi memberi peluang kepada mahasiswa menjana pendapatan sampingan sebagai tutor.

Barisan juri bagi USC 2021 juga terdiri daripada nama-nama besar daripada pelbagai industri yang dipertandingkan. Juri bagi kategori Technology Track terdiri daripada Pengurus Penerokaan dan Rakan Kongsi MaGIC sendiri iaitu Mydiana Madzlan; Pembangunan Ekosistem syarikat Perunding Perniagaan Petronas SEEd.Lab, Farhan Faizal dan Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas bersama syarikat Ata Plus Sdn. Bhd., Elaine Lockman.

Bagi kategori Impact Driven Track, barisan juri terdiri daripada Pengurus Besar Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCEIC), Viviantie Sarjuni; Ketua Bahagian Pelestarian Spritzer Berhad, Mohd. Rizalman Mohd. Ali dan Pengarah Bahagian Impak Sosial Anthena Holdings Sdn. Bhd. iaitu Anja Juliah Abu Bakar.

Menurut Pelatih Program, Hanif Marzuki yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Youth Venture selaku penganjur bersama program berkenaan, pihaknya menerima maklum balas positif daripada penganjuran USC 2021.

“Respons positif tidak hanya diterima daripada peserta, malah oleh penyokong serta pembiaya yang melaburkan wang ke dalam projek permulaan di peringkat universiti,” katanya.

Sejak pelancarannya pada 2019, USC telah memberi impak kepada lebih 300 pelajar dari lebih 50 IPT.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI