PETALING JAYA – Gagasan Kerjasama Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) akan mengadakan Sidang Kemuncak Kali ke-13 secara maya esok.
Sidang itu akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku pengerusi semasa IMT-GT; Presiden Republik Indonesia, Presiden Joko Widodo dan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha.
Pengerusi IMT-GT, Tan Sri Rozali Ismail berkata, program itu bertujuan memperkukuhkan permuafakatan dan rangka kerjasama sosio-ekonomi tiga negara serantau yang diasaskan sejak 28 tahun yang lalu selari dengan semangat permuafakatan ASEAN.
Katanya, beliau mengharapkan keberhasilan daripada sidang yang mampu merangka dasar dan program pemulihan ekonomi serantau dengan pantas dan cekap.
“Pelan Pembangunan Wilayah IMT-GT yang dizahirkan melalui Kerangka Pelaksanaan ‘(Implementation Blueprint)’ 2017-2021 telah terjejas dengan ketara kesan akibat pandemik Covid-19.
“Sehubungan itu, Majlis Bersama Perniagaan Malaysia bersama-sama komuniti perniagaan umumnya mengharapkan sidang kali ini dapat mengambil ketetapan dalam menggerakkan dasar-dasar serta program yang pantas bagi memulihkan ekonomi.
“Selain itu, ia diharap dapat meneroka bidang-bidang keutamaan yang berimpak tinggi serta meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan untuk membuat pelaburan semula dalam sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, beliau optimis pemimpin-pemimpin negara IMT-GT akan bersepakat untuk meningkatkan inisiatif vaksinasi di negara masing-masing dan bersedia untuk membuka ekonomi, sempadan dan perjalanan rentas negara dalam tempoh terdekat bagi memulihkan sektor-sektor yang terjejas teruk.
“Matlamat terakhir daripada inisiatif tersebut adalah pemulihan sektor ekonomi mikro, kecil dan sederhana yang juga merupakan 90 peratus daripada komuniti perniagaan keseluruhannya,” ujarnya. – K! ONLINE














