fbpx

Malaysia bersedia terima pelancong Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (dua kiri) dan Faridah (dua dari kanan) pada majlis pelancaran ‘Jom Jalan Jalan’ di Sunway Lagoon.

SUBANG JAYA – Malaysia sudah  bersedia  menerima kehadiran pelancong dari Singapura, kata  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, sebagai permulaan langkah rentas sempadan antara kedua-dua negara ini, mungkin  hanya dibenarkan buat mereka yang menggunakan pengangkutan udara.

Menurutnya, perbincangan telah dimulakan dengan negara jiran  untuk membenarkan pergerakan rentas sempadan bagi golongan yang sudah lengkap divaksin.

“Ini hanya cadangan dan belum diluluskan, tetapi antara yang dibincangkan ialah hanya menerima pelancong yang menggunakan pengangkutan udara kerana prosedur operasi standard (SOP) untuknya sudah ada.

“Kedua -dua belah pihak secara prinsipnya sudah pun bersetuju, cuma hanya memperhalusi cadangan tersebut. Kami mahu buka sempadan seawal yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Sunway Lagoon, di sini  bersempena pelancaran Kempen Petron Jom Jalan Jalan bersama Tourism Malaysia.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Langkawi  akan dibuka untuk kehadiran pelancong antarabangsa bermula 15 November ini, yang mana ia merupakan langkah awal untuk membenarkan semula kemasukan pelancong asing ke Malaysia.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, kempen Jom Jalan Jalan yang diadakan selari dengan pembukaan semula perjalanan domestik antara negeri berlangsung selama lima bulan sehingga Mac depan dan memberi ganjaran kepada 1,156 pemenang.

Ia terbuka kepada semua pemegang kad Petron Miles. Pelanggan beroleh penyertaan automatik untuk cabutan bertuah hadiah utama dengan pembelian bahan api terkumpul bernilai RM250 dalam tempoh sebulan, manakala pembelian bernilai RM50 layak untuk cabutan hadiah tempat pertama.

“Hadiah kempen ini adalah bertemakan percutian glamping atau perkhemahan glamour dengan kerjasama rakan pelancongan seperti Tiarasa Escapes Glamping Resort, Sunway Lost World of Tambun, Camp Out! At Sunway Lagoon, Orchard Wellness Melaka, Glamz Genting, Sepilok Forest Edge dan Culvert Santubong. 

“Enam pemenang akan memenangi hadiah utama berupa pakej percutian bernilai sehingga RM20,000 berserta wang tunai dan tajaan minyak daripada Petron,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI