fbpx

Sinar belum pudar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lee Zii Jia

SABTU minggu lalu, maka berakhirlah sekali lagi sebuah pengharapan buat kesekian kalinya untuk menyaksikan skuad badminton negara melakar kejutan menjulang kejuaraan Piala Thomas selepas 29 tahun menanti.

Bunyinya mungkin tidak realistik dan terlalu optimis ketika melihat senarai pemain yang dibawa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengharungi saingan di Aarhus, Denmark apabila sebahagian besarnya adalah pemain muda kurang pengalaman.

Hanya Lee Zii Jia dan gandingan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang sudah memiliki pengalaman di pentas antarabangsa tetapi hakikatnya mereka belum benar-benar matang untuk menyerap tekanan dalam saingan aksi berpasukan seperti Piala Thomas ini.

Jika diikutkan, kekalahan 0-3 kepada Indonesia di suku akhir itu tidaklah begitu mengecewakan terutama ketika sasaran yang diletakkan oleh BAM memang untuk sampai ke peringkat itu sahaja.

Ironinya, biarpun gagal untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik, ada satu keberuntungan buat peminat badminton tempatan yang mampu diperoleh daripada kejohanan itu kerana anda semua dapat mengenali muka-muka baharu pemain negara dan sejauh mana kemampuan mereka.

Nama-nama seperti Cheam June Wei, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani mungkin jarang-jarang kita dengar sebelum ini tetapi kali ini anda boleh melihat kelibat mereka sendiri.

Bukanlah tidak pernah nama-nama tersebut terpapar di dalam media tetapi mungkin kekurangan kejohanan yang disertai atau kejohanan yang tidak berstatus besar membuatkan mereka ini dilihat agak tersisih.

Hakikatnya, kesemua mereka ini memiliki potensi yang cukup besar, masa depan mereka cerah, namun masih ada kerja kuat yang diperlukan untuk meletakkan mereka betul-betul dalam peta badminton dunia.

Misalnya, Ng Tze Yong yang turun menentang Jonatan Christie dalam aksi perseorang kedua untuk saingan suku akhir berjaya menampilkan aksi yang cukup tabah dengan mengheret perlawanan ke rubber-set.

Namun, jika anda sedar, Tze Yong hanya berada di ranking ke-82 dunia ketika ini, manakala pemain Indonesia berkenaan menghuni kedudukan ketujuh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), maka kekalahan itu kita perlu anggap sebagai boleh diterima.

Tahun hadapan, saingan Piala Thomas akan kembali lagi mengikut jadual asal pada Mei di mana Thailand bakal menjadi hos, berbaki tujuh bulan yang masih tinggal ini mungkin sukarlah untuk kita melihat perubahan yang terlampau ketara bakal dipamerkan.

Namun, untuk edisi berikutnya pada 2024, BAM mungkin tidak boleh lagi meletakkan sasaran yang terlampau mudah untuk dicapai kerana berdasarkan bakat yang kita sudah ada ini, suku akhir bukan lagi satu yang realistik.

BAM perlu lebih berani, seandainya sasaran itu sekadar suku akhir, kemudian berbangga apabila mencapainya, tetapi gagal untuk ke peringkat seterusnya, sampai bila-bila pun kita tak akan mampu menjadi juara.

Tempoh tiga tahun dari sekarang sudah cukup untuk menjadikan barisan pemain kita matang, berikan pengalaman secukupnya, hantar sertai seberapa banyak kejohanan dan adunkan bersama eleman sains sukan, nescaya kita akan peroleh hasil yang sekian lama nantikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI