fbpx

Hadiah hari lahir, Tya Arifin, suami tunaikan umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYA bersama suami berangkat menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah malam tadi.

PETALING JAYA- Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan gembira yang dirasai pelakon dan usahawan Tya Arifin apabila menerima hadiah paling bermakna sempena hari lahirnya esok iaitu menunaikan ibadah umrah.

Tya atau nama lengkapnya Nurtria Wulandari Arifin, 27, berlepas ke Jeddah, Arab Saudi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi bersama suaminya, Asyraf Khalid.

Pelakon asal Palembang, Indonesia itu tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja kerana berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas dua tahun jemaah dari negara luar tidak dapat melakukannya akibat penularan pandemik Covid-19.

“Bismillahirahmanirahim. Insya-Allah, satu jam lagi saya akan bertolak ke Jeddah dan meneruskan perjalanan umrah.

“Saya mohon maaf kepada semua andai ada salah yang sengaja mahupun tidak. Kepergian ini seperti rezeki bulan kelahiran saya, masya-Allah. Doakan saya dan suami dipermudahkan umrah sehingga kembali ke tanah air,” tulisnya dalam perkongsian Instagram malam tadi.

Keberangkatan pelakon filem Preman Pensiun itu menyaksikan diri menjadi selebriti tempatan pertama yang mengerjakan ibadah umrah selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan kedatangan jemaah dari negara luar bermula 10 Ogos lalu.

Sementara itu menurut Asyraf, dia dan Tya membuat keputusan menunaikan umrah selepas menerima panggilan daripada agensi seminggu lalu.

Kongsi ahli perniagaan yang merupakan anak tiri kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, dia dan beberapa orang rakannya menerima panggilan daripada agensi yang memaklumkan bahawa trip menunaikan umrah kembali dibuka ketika mereka sedang bercuti di Pulau Redang, Terengganu minggu lalu.

“Sewaktu sedang bersantai di pantai, kami terima panggilan daripada agensi yang mengatakan trip menunaikan ibadah umrah kembali dibuka.

“Pada waktu itu juga kami terus buat keputusan untuk mengerjakan umrah bersama-sama. Doakan kami selamat pergi dan balik,” katanya dalam hantaran Instagram malam tadi.

Penerbangan Tya dan Asyraf ke Tanah Suci meninggalkan dua anak mereka iaitu Arif Jiwa Asyraf, 4, dan Azzahra Jiwa Asyraf, 2. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI