fbpx
Polis sedang melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Jalan Magazine, di sini malam tadi.

Belum lengkap dua dos, sudah berani ‘dine-in’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Seramai enam pelanggan sebuah bar dan restoran di Jalan Magazine di sini dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang gara-gara belum lengkap menerima vaksinasi Covid-19 bagi aktiviti makan di kedai, malam tadi.

Pelanggan terbabit terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia 23 hingga 37 tahun.

Operasi Pemantauan dan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira pukul 10.50 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi tersebut pemilik premis turut dikompaun atas kesalahan membenarkan pelanggan yang belum lengkap divaksinasi menjalani aktiviti dine-in.

“Masing-masing enam pelanggan dikenakan kompaun RM2,000 manakala pemilik premis pula RM10,000.

“Tindakan kompaun dilakukan mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit Dan Hukuman di Bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama dan Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit berdasarkan nilai magnitud jadual kesalahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan demi membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19. – K! ONLINE

POPULAR