fbpx
Kesemua sampel calitan yang diambil dari barangan di kedai runcit menunjukkan hasil negatif Covid-19. - UPI

Risiko dijangkiti Covid-19 dari permukaan rak runcit rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ONTARIO, KANADA – Satu kajian baharu mendapati bahawa risiko untuk individu dijangkiti oleh virus Covid-19 dari permukaan rak di kedai runcit atau pasar raya adalah amat rendah, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Guelph, Ontario itu menguji sebanyak 957 sampel permukaan di empat buah kedai runcit dalam tempoh sebulan. Tiada satu pun daripada sampel tersebut didapati positif Covid-19.

Ini bermaksud, permukaan seperti pemegang troli beli-belah atau pintu peti sejuk di kedai runcit yang mematuhi protokol kesihatan adalah selamat untuk dipegang.

“Kami percaya bahawa tabiat membersihkan dan membasmi kuman di permukaan serta pemakaian pelitup muka dapat mengurangkan risiko pemindahan virus dari permukaan di kedai runcit kepada manusia,” kata Profesor Madya Sains Makanan, Dr. Maria Corradini.

Sebelum ini, kajian ketika awal pandemik mencadangkan bahawa virus Covid-19 boleh bertahan di atas permukaan selama beberapa jam dan hari, menyebabkan orang ramai memakai sarung tangan ketika membeli-belah.

Bagi kajian terbaharu ini, para penyelidik menguji bahagian pemegang troli dan bakul, terminal pembayaran, permukaan di sekitar kaunter roti dan pemegang plastik serta besi di bahagian makanan sejuk beku.

Mereka kemudiannya menjalankan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dan mendapati bahawa kesemua sampel yang diuji menunjukkan hasil yang negatif bagi virus Covid-19. – AGENSI

POPULAR