fbpx

Penjawat awam antara 7 didakwa hadir ke lokasi sabung ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan hadir ke lokasi kegiatan sabung ayam di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krai, bulan lalu.

KOTA BHARU – Tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam didakwa secara bersama-sama di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan hadir ke lokasi kegiatan sabung ayam di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krai, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Zin Kadir, 74, Mohd. Zin Ab. Latif (51), Noraizat Dzulkefli (44), Ong Guan Tian (77), Mohd. Amirul Ashraf Sham Rahman Khan (32), Ang Hock Bee (70) dan Mohd. Shahiram Mat Jizi (27) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh tertuduh didakwa secara bersama-sama telah hadir pada waktu pelagaan ayam.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai kira-kira pukul 6 petang pada 10 September lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap kesemua tertuduh.

Ketujuh-tujuh tertuduh dalam rayuan mereka secara sepakat telah memohon agar jaminan yang rendah diberikan kepada mereka.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 29 November depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI