fbpx

Malaysia kini di ranking ke-10 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki kebangsaan kini naik satu tangga ke ranking ke-10 terbaik dunia selepas FIH mengemas kini carta ranking dunia awal pagi semalam.

SKUAD hoki senior lelaki kebangsaan kini muncul antara pasukan yang wajar digeruni di pentas antarabangsa selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 ranking terbaik dunia.

Ia selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemas kini carta ranking dunia awal pagi semalam menyaksikan Malaysian Tigers melonjak satu anak tangga ke No.10 (1427.181 mata), memintas Kanada yang jatuh ke tangga ke-11 (1422.120 mata).

Kejayaan itu hadir selepas kemenangan skuad negara ke atas pasukan No.18 dunia, Wales dengan keputusan 3-1 dalam aksi kelapan Siri Jelajah United Kingdom di Reading Hockey Club awal pagi semalam.

Ketua jurulatih, Arul Selvaraj berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya yang disifatkan sudah berjaya mencapai salah satu matlamat utama ditetapkan mereka untuk siri jelajah kali ini.

“Kemenangan yang bagus buat hoki dan rakyat Malaysia. Lebih manis apabila kami terpaksa melalui perjalanan selama tiga jam untuk sampai ke venue perlawanan dan bermain dalam cuaca yang sejuk serta hujan.

“Ini antara tujuan utama di sini kerana kami mahu semua pemain dapat bermain dalam keadaan tertekan dan cuba memenangi perlawanan. Ia satu pencapaian yang cukup baik buat para pemain.

“Saya percaya kepada proses yang kami lalui dan kami perlu sentiasa bekerja keras untuk mencapai sasaran pada masa depan. Terima Kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami,” katanya.

Tiga gol skuad negara dijaringkan dua oleh Faizal Saari pada minit ke-17 dan 18 serta satu daripada Muhammad Razie Abd. Rahim (m-59), manakala Wales meraih jaringan sagu hati melalui Ioan Wall (m-58).

Sebagai rekod, skuad negara akan menghadapi dua lagi aksi persahabatan menentang Perancis malam esok dan 18 Oktober ini di Wales Hockey Centre bagi melengkapkan Siri Jelajah ­United Kingdom sejak 26 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI