fbpx

Pahang bakal jadi pengeluar utama cendawan tiram kelabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZULITA Salim (kiri) melihat projek penanaman cendawan tiram kelabu di PPK Pekan di Pekan semalam.

PEKAN – Pahang disasarkan menjadi antara pengeluar utama cendawan tiram kelabu negara melalui projek penanaman cendawan berkenaan yang sedang giat diusahakan oleh ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negeri.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim berkata, usaha menggalakkan pembabitan PPK dalam tanaman cendawan giat dilakukan dari semasa ke semasa dan mendapat sambutan yang amat baik.

“Setakat ini terdapat tiga PPK yang terlibat dengan projek penanaman cendawan tiram kelabu iaitu PPK Kuantan Utara, PPK Pekan dan PPK Merapoh yang mengusahakan sebanyak 105,000 bongkah dengan hasil 760 kilogram cendawan seminggu.

“Permintaan terhadap cendawan tiram kelabu sentiasa menggalakkan daripada masyarakat dan dengan tawaran harga yang memuaskan,”katanya selepas meninjau projek penanaman cendawan tiram kelabu di PPK Pekan di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Dzulfadli Johan.

Menurut Azulita, kejayaan Pahang diharap menjadi contoh kepada PPK di negeri lain yang ingin terbabit dalam projek tanaman cendawan yang tidak memerlukan modal yang besar dan amat berpotensi.

Beliau memberitahu PPK Pekan, PPK Kuantan Utara dan PPK Merapoh telah mewujudkan rangkaian dalam kalangan ahli yang terbabit untuk mengusahakan projek tanaman cendawan dan usaha berkenaan kini berhasil.

“Di bawah pakej rangsangan ekonomi berikutan wabak Covid-19 tahun lalu bantuan khas sebanyak RM200,000 disediakan kerajaan kepada setiap PPK dalam usaha merancakkan semula sektor pertanian yang terjejas sebelum ini.

“PPK Pekan menggunakan bantuan yang diterima untuk mereka membesarkan lagi projek tanaman cendawan tiram kelabu diusahakan oleh seorang ahli,”ujarnya

Sementara itu, Dzulfadli berkata, pada tahun ini LPP Pahang menerima peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi membantu 22 PPK seluruh negeri menjayakan projek berdaya maju antaranya sektor pertanian, ternakan dan akuakultur.

Ujarnya, daripada jumlah itu LPP menyediakan peruntukan sebanyak RM520,000 untuk menjayakan projek tanaman cendawan oleh PPK Pekan, PPK Kuantan Utara dan PPK Merapoh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI