fbpx

Bekalan air lima daerah terganggu, Loji Air Semanggar terlibat kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadamkan kebakaran di salah sebuah unit transformers di Loji Air Semangar, Kota Tinggi, Johor semalam.

KOTA TINGGI – Kira-kira 100 buah kawasan di lebih lima daerah terjejas dengan gangguan bekalan air selepas dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini terbakar semalam.

Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan memaklumkan antara kawasan terlibat adalah di Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai.

Turut terlibat Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.

Selain itu pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri juga terjejas.

Menurut kenyataan itu, kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan.

“Pihak SAJ sedang sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat-peringkat.

“Berdasarkan maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah 12 jam selepas loji dioperasikan semula dengan kapasiti penuh,”katanya.

Dalam pada itu Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 2.57 petang.

Katanya, seramai 12 anggota BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran dua unit transformers itu berlaku dalam bilik berkeluasan 20 kaki x 15 kaki x 12 kaki dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

“Bilik berkenaan telah terbakar 80 peratus. Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Operasi tamat pada pukul 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI