fbpx

Isu doping hantui aksi badang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekan Ramli
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

TINDAKAN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) me­lakukan ‘pembersihan’ terhadap skuad kebangsaan dianggap satu pilihan tepat untuk memastikan imej badan induk tersebut terus terpelihara.

Mana tidaknya, tindakan memalukan dua atlet negara yang terpalit dengan kes doping menyebabkan PABM dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju membubarkan skuad angkat berat kebangsaan sedia ada.

Meskipun mendapat kecaman beberapa pihak, namun tindakan tegas presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat ‘cuci sampai bersih’ dianggap jalan terbaik daripada membiarkan isu penyalahgunaan bahan terlarang terus menjadi barah.

Pandangan itu dipersetujui oleh penganalisis sukan tempatan, Dr. Pekan Ramli yang melihat tindakan yang dilakukan PABM adalah wajar untuk memulihkan semula skuad kebangsaan yang terpalit dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

Tegas Pekan, pembubaran skuad kebangsaan penting untuk memastikan persatuan dapat melakukan pemilihan semula memandangkan tahun depan atlet negara mempunyai misi besar untuk bersaing di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti.

“Saya menyokong tindakan yang dilakukan persatuan kerana ini adalah amaran keras kepada atlet mahupun jurulatih yang bertugas untuk terus membasmi masalah penggunaan bahan terlarang ini dalam sukan angkat berat.

“Pembersihan yang dilakukan PABM wajar dilakukan untuk menilai semula mencari atlet mahupun jurulatih bertauliah yang bersih dari segala gejala doping.

“Saya bimbang jika PABM tidak bertindak sedemikian kemungkinan berlaku implikasi besar terutama pengharaman daripada Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF). Ini yang kita takut, jadi tindakan tegas dilakukan PABM adalah terbaik.

“Justeru, saya berharap apa yang berlaku kepada PABM sewajarnya menjadi iktibar kepada persatuan-persatuan kebangsaan lain dan memandang serius berkenaan isu doping ini dalam kalangan atlet negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ayub sebelum ini memaklumkan bahawa pembentukan skuad kebangsaan baharu akan dilakukan dalam tempoh terdekat untuk melakukan persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022.

“Skuad kebangsaan yang bakal dibentuk pada masa akan datang akan memfokuskan kepada kelayakan dan mencair slot ke Sukan Komanwel 2022 dan seterusnya menghadiahkan pingat buat negara.

“Satu kejohanan pemilihan atlet untuk ke pasukan kebangsaan akan diadakan pada Oktober, atlet terbaik serta mampu menghasilkan pingat buat negara pada Sukan Komanwel akan di­serapkan dalam skuad baharu ini,” katanya.

Sebelum ini, PABM pernah digantung daripada menyertai sebarang aktiviti Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021 selepas tiga atlet negara terpalit isu doping dalam tempoh setahun.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 September 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI