SETIU – Seorang ibu tidak dapat lupakan detik fenomena air pasang yang meragut nyawa anak perempuan dan dua anak saudaranya di muara Sungai Mangkuk berhampiran Kampung Mangkuk di sini kelmarin.
Nurulhuda Abdul Rahman, 38, sekadar mampu menjerit meminta tolong dengan penuh kepiluan melihat anak sulungnya, Nurul Hasha Humaira Che Mohd. Humaizi, 11, dan dua lain iaitu adik beradik, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, serta Muhammad Aryan Faheem, 7, dihanyutkan arus sungai sebelum tenggelam.

“Keadaan berlaku dengan begitu pantas. Mereka sebelum itu berada di beting pasir untuk bermain air dan mencari kepah pada pukul 3 petang.
“Sewaktu sudah mahu pulang ke tebing sungai, air tiba-tiba naik menenggelamkan beting pasir tersebut menyebabkan kami panik,” katanya sayu ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Setiu di sini semalam.
Berita berkaitan: Tiga kanak-kanak dikhuatiri lemas di muara Sungai Setiu
Nurulhuda memberitahu, sewaktu kejadian, enam kanak-kanak semuanya merupakan sepupu berusia dalam lingkungan bawah 12 tahun termasuk anaknya, Nurul Hasha Humaira berada di beting pasir yang telah ditenggelami air pasang pada pukul 5.30 petang.
Ceritanya lagi, dia tidak keruan apabila mendapati hanya tiga kanak-kanak yang berjaya diselamatkan, manakala tiga lain termasuk anaknya tidak kelihatan kelibatnya di tebing sungai.
“Saya segera menghubungi suami, Che Mohd. Humaizi Che Jemani, 38, yang ketika itu sedang memancing.
“Tidak sangka kunjungan ketiga kami ke situ (Kampung Mangkuk) ini untuk beriadah berakhir tragedi. Sebelum kejadian, paras air di beting pasir yang terletak kira-kira 50 meter dari tebing sungai cuma paras betis,” katanya.
Berita berkaitan: Tiga budak lemas sebab cari kepah
Nurulhuda berkata, dia bersama keluarga dua kakaknya, Nor Azrina, 43, dan Nor Azifah, 41, tiba di kawasan perkelahan itu pada pukul 9.30 pagi sebelum sebahagian daripada mereka termasuk tiga mangsa menyeberang ke beting pasir itu dengan menaiki bot pada pukul 3 petang.
Berita berkaitan: Jenazah tiga mangsa lemas selamat dikebumikan
Dia yang menetap di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu berkata, dia dan suami tertarik dengan kawasan itu ketika mengunjunginya pada minggu lalu sebelum mengajak keluarga Nor Azrina dan Nor Azifah yang juga ibu Nur Amni Insyirah kembali di lokasi perkelahan sama pada kelmarin.
Berita berkaitan:
Sementara itu, Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif berkata, mayat tiga mangsa ditemui pada pukul 12.58 pagi dan 1.47 pagi semalam.
Dalam pada itu, jenazah semua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Losong Panglima Perang, Kuala Perang, Kuala Terengganu semalam.