fbpx

Tebing Sungai Kulim tunggu masa runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar menunjukkan kawasan sungai yang semakin melebar dan cetek sehingga mengakibatkan benteng makin terhakis di Kampung Tok Rasul di Kulim semalam.

KULIM – Seorang pesara kerajaan merayu kepada pihak berkuasa supaya segera menyelesaikan masalah hakisan tebing Sungai Kulim yang dibimbangi akan menyebabkan rumahnya runtuh jika dibiarkan berlarutan.

Azhar Hassain, 58, dari Kampung Tok Rasul di sini berkata, aduannya mengenai hakisan yang berlarutan sejak lima tahun lalu itu langsung tidak diendahkan oleh pihak berkaitan.

Katanya, hakisan semakin memburuk sejak kebelakangan ini disebabkan cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat dan arus kuat hinggakan jarak tebing dengan belakang rumahnya semakin hampir.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada sisa pokok tumbang dan kayu di dalam sungai yang tidak dibersihkan hingga menjadikan sungai semakin cepat terhakis.

“Baru-baru ini serumpun pokok buluh tumbang ke dalam sungai akibat hakisan yang sudah merebak ke banyak kawasan. Ada 70 buah rumah di kampung ini tetapi rumah saya dan anak yang paling hampir,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, dia telah me­ngadu masalah itu kepada pihak berkenaan sejak 2017, namun masih tiada tindakan sebelum dia membuat laporan baharu pada tahun lalu kepada polis dan lain-lain untuk memohon dibuat sangkar batu dan pembersihan namun tetap tidak diendahkan.

Menurut Azhar, dia menganggarkan kawasan sungai itu semakin meluas kira-kira 10 meter dan jarak rumahnya dengan tebing runtuh hanya 20 meter disebabkan proses hakisan.

“Saya merayu kepada pihak berkaitan supaya mengambil tindakan awal kerana jika ia dibiarkan terlalu lama, saya bimbang ia akan menjadi semakin teruk dan ini akan menyebabkan kos membaiki akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Ujar Azhar, dia tidak mahu menunding jari kepada sesiapa, namun jika dibiarkan dia dan anaknya juga yang akan menerima kesan daripada hakisan tersebut.

“Sisa pokok tumbang dan sampah juga menyekat pergerakan air yang akan mengubah laluan air sehingga berlaku hakisan tebing,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap agar pihak terbabit dapat mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan masalah itu lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh yang akan menjelma tidak lama lagi.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI