fbpx

Dikhabarkan bercerai, rumah Shandy Aulia dikerumun media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHANDY AULIA kini dilihat memadam perkataan 'wife' pada ruangan profil Instagramnya.

PETALING JAYA – Pelakon terkenal Indonesia, Shandy Aulia mohon diberi ruang dan privasi selepas khabar angin tentang perceraian dengan suami, David Herbowo tersebar sejak semalam.

Difahamkan sejak khabar angin perceraiannya tersebar kediaman Shandy,34, yang popular menerusi filem Eiffel I’m in Love itu telah dikerumuni oleh pihak media.

“With my humble heart, saya mohon untuk rakan-rakan wartawan yang terhormat, dengan kerendahan hati saya meminta untuk tidak datang membuat liputan di kawasan privasi rumah saya ataupun keluarga besar saya,” tulisnya dalam satu hantaran di InstaStory semalam.

Tidak terhenti di situ sahaja, ibu kepada seorang anak itu juga memohon agar gambar kediamannya tidak disiarkan dalam media massa.

“Berikan ruang dan waktu untuk saya peribadi, perihal berita yang beredar adalah hak ranah (alam) yang sangat peribadi untuk saya.

“Saya mengerti dan menghormati pekerjaan rakan-rakan wartawan, namun saya memohon untuk menghormati hak privasi saya sebagai manusia.

“Terlebih kawasan rumah saya memiliki privasi bagi tetangga (jiran) di sekitar rumah saya. Mohon untuk tidak mengambil gambar atau video rumah/kediaman peribadi saya dan keluarga untuk disiarkan. Terima kasih yang sebenar-benarnya,” tulis Shandy.

Khabar angin tentang keretakan rumah tangga Shandy dan suaminya tersebar selepas pelakon yang juga seorang usahawan itu memadamkan perkataan ‘Wife’ pada profil akaun Instagramnya semalam.

Malah, beberapa gambar bersama suaminya juga sudah dipadamkan oleh Shandy daripada akaun Instagramnya.

Beberapa minggu lepas menerusi Instagramnya Shandy dilihat meluahkan perasaan tentang rasa sakit hati dan kekecewaan serta mengingatkan dirinya bahawa setiap apa yang terjadi adalah di atas ketentuan Tuhan.

Shandy dan suaminya, David Herbowo telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Claire Herbowo yang kini berusia setahun lapan bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI