fbpx
Lee Zii Jia menjadi satu-satunya pemain negara yang menyumbang mata buat Malaysia pada perlawanan tersebut. Gambar Badminton Photo

Langkah Malaysia tersekat di separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD badminton negara ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland selepas tewas 1-3 kepada Jepun di pentas separuh akhir awal pagi tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Energia Areena itu, Jepun memulakan langkah kemenangan menerusi beregu lelaki, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-15, 21-14.

Kemudian, hasrat perseorangan wanita negara, S. Kisona untuk mengejutkan bekas pemain No.1 dunia, Akane Yamaguchi tidak terlaksana apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu akur dengan kekalahan 7-21, 5-21.

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia turun pada aksi ketiga menentang juara dunia dua kali, Kento Momota dengan harapan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata buat Malaysia.

Kegigihan yang ditunjukkan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu nyata berbaloi apabila merapatkan kedudukan 1-2 selepas menang dengan aksi straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh hampir sejam.

Pada perlawanan keempat, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah menggalas harapan untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan, namun langkah itu disekat Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo apabila tewas 19-21, 17-21.

Walaupun gagal melangkah ke pentas final, namun pencapaian skuad muda negara wajar dipuji memandangkan mereka berjaya melepasi sasaran suku akhir dengan menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN