fbpx
PARI gergasi berjaya dijinakkan dengan umpan ikan bolos atau gelama segar.

Lubuk pari Pantai Mersing jadi buruan pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kawasan perairan di negara ini mempunyai spesies ikan bersaiz besar yang berbeza dan terdapat pemancing tegar yang sentiasa ke lokasi terbabit untuk memburunya.

Tidak ramai yang mengetahui kawasan perairan terutamanya di pesisir pantai Mersing, Johor kaya dengan habitat ikan pari lalat dan daun yang mempunyai ramai peminat tersendiri.

Satu kumpulan pemancing yang menggelarkan diri mereka sebagai Pemburu Pari Selatan atau South Stingray Rem sering ke kawasan berkenaan dalam usaha memburu pari gergasi sebagai hobi dan mengisi masa lapang.
——————————————————————————————————————————————————————-
PEMBURU Pari Selatan atau South Stingray Rem yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu memilih pantai-pantai di sekitar Mersing, Johor sebagai lokasi pemburuan ikan pari lalat dan pari daun.

Menurut pengasasnya, Ramli Rohani, 55, setakat ini kumpulan itu mempunyai keahlian seramai 60 orang yang merupakan pemancing tegar sejak dahulu lagi.

Katanya, biasanya bagi satu-satu ekspedisi, pasukannya berjaya menjinakkan 15 ekor ikan pari dengan berat keseluruhan 250 kilogram (kg) dengan sebahagiannya dijual kepada pemborong pada harga RM16 sekilogram.

“Selain dijual, kami juga membawa balik untuk dijadikan lauk, selain turut diberikan kepada jiran-jiran dan ahli keluarga terdekat,” jelasnya.

“Selain Pantai Telok Mahkota, Sedili lokasi lain yang turut dikunjungi adalah Pantai Sisik Endau, Teluk Arung dan Pantai Semanyir yang merupakan kawasan yang mempunyai banyak ikan pari bersaiz besar.

“Pari daun yang paling berat pernah dinaikkan adalah 73kg di Pantai Telok Mahkota, Sedili pada tahun 2019 oleh saya sendiri dan seorang ahli kumpulan, Hedir Mazob,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Jelasnya, biasanya setiap kali keluar memburu pari, dia akan membawa tujuh hingga lapan orang termasuk isterinya, Anita Ahmad, 50, sebagai tukang masak memandangkan mereka akan bermalam di lokasi memancing.
Ramli berkata, pasukannya akan berada di lokasi memancing selama dua hari satu malam pada hujung minggu.

Katanya, aktiviti memancing akan dilakukan pada waktu siang dengan meranduk air sebelum jorang dilemparkan ke laut.

Beliau yang berkongsi minat memancing dengan isterinya mengakui, hobinya dalam aktiviti itu bermula pada usia 20 tahun.

Jelasnya, ia diteruskan semasa bekerja di Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah atau sekarang dikenali dengan nama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

BEBERAPA ahli kumpulan Pemburu Pari Selatan berpuas hati dengan hasil tangkapan di satu lokasi
di perairan Mersing baru-baru ini.

Untuk memancing ikan pari di kawasan pantai ujarnya, dia dan ahli kumpulan lain biasanya menggunakan umpan ikan bolos atau ikan gelama segar.

Di samping itu, joran yang digunakan pula adalah jenis King Surf 450 memandangkan lokasi memancing adalah di gigi air tepi pantai.

“Ikan pari biasanya ‘galak’ bermain air ketika pasang besar pada waktu pagi,” ujarnya.

Ramli menjelaskan, dia kini mempunyai enam orang anak, tetapi sehingga kini hanya anak bongsunya, Azri Shazwan, 15, mempunyai minat dan hobi memancing sepertinya.

Katanya, selain dirinya sebagai pesara kerajaan, sebahagian besar ahli pasukannya merupakan mereka yang bekerja sendiri dan menjadikan hobi memancing sebagai aktiviti untuk mengisi masa lapang.

“Rata-rata mereka telah lama menjadi pemancing tegar dan tahu selok-belok ‘tipu muslihat’ ikan di dalam air.

“Mereka juga mahir mendaratkan pelbagai jenis ikan sama ada di kawasan pantai atau di laut, selain menggunakan pelbagai jenis joran mengikut lokasi,” jelasnya.

Ditanya mengenai pengalaman pahit sepanjang bergelar pemburu pari, Ramli memberitahu, dia pernah bertarung selama lima jam untuk menaikkan pari besar dengan anggaran berat 90kg pada bulan April lalu, tetapi gagal mendaratkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN