fbpx
MINTAH (kanan) yang melakukan percubaan ke arah gawang Selangor FC pada saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam kelmarin. – PUQTRA HAIRRY

Skuad Penyu berjaya pukau Gergasi Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PERCATURAN Terengganu FC (TFC) menukar ‘enjin’ tengah membuahkan hasil apabila gandingan Lee Tuck, Habib Haroon dan Dechi Marcel membantu mengalahkan juara 33 kali, Se­langor, 2-1 pada aksi kedua Kumpulan B saingan Piala Malaysia malam kelmarin.

Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, trio import tersebut memberi keseimbangan kepada skuad Penyu meskipun terpaksa menggugurkan Makan Konate dalam kesebelasan utama.

Tambah beliau, mereka beraksi baik sejak wisel sepak mula ditiupkan selain menggerakkan serangan terutama Lee Tuck yang muncul penjaring gol kedua TFC pada minit ke-52.

“Bertemu Selangor, kita perlukan kekuatan di posisi tengah dan saya lihat prestasi Lee Tuck, Habib serta Marcel serba menjadi. Kehendak saya sebagai jurulatih dipenuhi.

“Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan menarik dengan banyak peluang terhidang. Saya berpuas hati Terengganu beraksi baik 90 minit,” katanya selepas perlawanan kelmarin.

Nafuzi bagaimanapun mengakui skuad kendaliannya berdepan tekanan hebat ketika menuju 15 minit terakhir setelah jaringan Ashmawi Yakin merapatkan jurang 1-2 buat Selangor.

Ujarnya, disiplin ketika bertahan membolehkan Terengganu mengekalkan rekod sempurna dua kemenangan daripada aksi Kumpulan B sebelum saingan kembali bersambung 29 Oktober ini.

“Kita juga ada banyak peluang lain yang gagal disudahkan, namun nasib tidak menyebelahi penyerang, Jordan Mintah untuk muncul sebagai penjaring gol,” katanya.

POPULAR